1 KONSEP CARETAKER GOVERNMENT: DI MANA PERANAN SPR? Oleh: Muhammad Fathi Yusof Universiti Teknologi Malaysia fathi@utm.my Abstrak Konsep kerajaan sementara adalah konsep yang wujud berasaskan konvensyen perlembagaan bagi memastikan pilihan raya berjalan dengan adil dan bebas. Konsep ini bertujuan untuk mengelakkan jentera kerajaan disalah guna untuk kepentingan politik, ketidakadilan dalam ruang kempen serta penyelewengan kuasa. Amalan di negara demokrasi berparlimen lain khususnya Australia merupakan rujukan penting kepada amalan ini. Di Malaysia, amalannya belum berlaku sebagaimana sepatutnya, namun beberapa perkembangan terkini menunjukkan bahawa ia berpotensi untuk diguna pakai dalam pilihan raya umum akan datang. SPR mempunyai peranan besar untuk menyediakan garis panduan amalan kerajaan tempatan dengan mengambil kira beberapa aspek utama iaitu sekatan ke atas kuasa eksekutif, kawalan dalam penggunaan jentera kerajaan, kawalan kewangan dan hak sama rata dalam kempen pilihan raya. Pendahuluan Konsep kerajaan sementara atau lebih dikenali sebagai caretaker government merupakan satu konsep yang penting bagi memastikan pilihan raya terlaksana secara adil dan bebas. Setiap kali berlaku pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU), pasti ada pihak-pihak tertentu yang menyuarakan betapa pentingnya melaksanakan konsep kerajaan sementara. Bahkan tuntutan berkaitan kerajaan sementara ini pernah menjadi kes mahkamah. Manakala beberapa bulan sebelum PRU ke 13 baru-baru ini, pihak jawatan kuasa parlimen telah mengesyorkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan kod etika tata laku dalam masa 3 bulan bagi pelaksanaan kerajaan sementara. Namun, sehingga kini belum ada tindakan yang konkrit bagi melaksanakan hasrat ini. Hakikat ini menjadikan soal kerajaan sementara terus menjadi perbahasan ramai pihak. Kertas ini bertujuan untuk menyorot konsep kerajaan sementara, tujuannya, serta kesesuaian pelaksanaannya di Malaysia. Kajian ini juga melihat dari sudut peranan yang boleh dimainkan oleh SPR dalam menjayakan konsep kerajaan sementara. Kajian ini dibuat berasaskan kepada idea asal konsep ini berasaskan konvensyen di Britain tanpa mengabaikan rujukan penting amalan konsep ini di Australia dan Bangladesh. Kajian terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan juga dibuat bagi memahami tahap pelaksanaan konsep ini di