World Academic and Research Congress 2015 (World-AR 2015) Ar-Rahim Hall, YARSI University, Jakarta, Indonesia, 9th – 10th December 2015 5 WAR 02 PENSIJILAN HALAL DI RANTAU ASIA: MALAYSIA, BRUNEI, INDONESIA DAN THAILAND Wawarah Saidpudin, Dr. Nor ‘Adha Abd Hamid, Norziah Othman, Surianom Miskam, Norazla Abd. Wahab, Farah Mohd Shahwahid, Syaripah Nazirah Syed Ager, Marliana Abdullah. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bandar Seri Putra, 43000 Kajang, Selangor, Malaysia wawarah@yahoo.com, noradha@kuis.edu.my, norziah@kuis.edu.my, surianom@kuis.edu.my, norazla@kuis.edu.my, farahms@kuis.edu.my, nazirah@kuis.edu.my, marliana@kuis.edu.my. ABSTRAK Halal bukan sahaja sebuah jenama atau logo, tetapi ia juga sebahagian daripada sistem kepercayaan dan nilai Islam yang diamalkan. Manakala konsep makanan halal adalah setiap proses yang perlu dijamin khasiatnya dan disediakan daripada bahan-bahan yang dibenarkan dengan cara yang bersih dan selamat menurut syarak Islam iaitu bermula daripada sumbernya di ladang hinggalah ke hidangannya. Namun kini, isu halal bukan sahaja lagi isu keagamaan sahaja tetapi telah diangkat menjadi sebuah simbol global untuk menentukan sesebuah jaminan kualiti dan pilihan gaya hidup melalui pensijilan dan logo halal dari sesebuah negara. Maka kajian ini bertujuan untuk mengkaji industri pensijilan halal terhadap produk makanan yang disediakan untuk umat Islam melalui empat buah negara di rantau Asia iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand. Metodologi bagi kajian ini adalah analisis kandungan terhadap dokumen pensijilan halal dan juga data literatur yang diperoleh daripada sarjana, keratan akhbar dan laman web yang berkenaan. Hasil kajian mendapati setiap negara memiliki badan autoriti pensijilan halal, mempunyai prosedur pensijilan halal yang bersandarkan kepada keperluan setiap negara, mempunyai standard halal yang tertentu dan mempunyai insiatif untuk memelihara bekalan rantaian makanan dan logistik halal. Keseluruhannya industri halal yang diusahakan oleh setiap negara mempunyai kekuatan yang tersendiri di samping meningkatkan lagi mutu produk halal seiring dengan syariat Islam untuk dinikmati oleh seluruh masyarakat. Hata kunci: Halal, Syarak, Pensijilan, Standard Halal, Industri Halal PENDAHULUAN Merujuk kepada pensyariatan di dalam agama Islam, halal adalah perkataan Arab yang bermaksud sah atau sesuatu yang dibenarkan oleh Allah, Tuhan Sekalian Alam manakala haram bermakna menyalahi undang-undang atau sesuatu yang dilarang dan dimurkai oleh Allah S.W.T dan merupakan kewajipan yang merangkumi segala aspek kehidupan lebih daripada 1.6 bilion Muslim di seluruh dunia. Bagi umat Islam, halal bukan sahaja sebuah jenama, tetapi ia juga sebahagian daripada sistem kepercayaan dan nilai Islam yang diamalkan (Wilson 2010). Namun kini, isu halal telah diangkat menjadi sebuah simbol global untuk menentukan sesebuah jaminan kualiti dan pilihan gaya hidup dan bukan lagi hanya isu keagamaan semata- mata kerana barangan yang bersih dan baik merupakan keperluan setiap individu (Noor ‘Ashikin & Nur Amani 2008). Hal ini kerana konsep halal (terutama makanan) adalah suatu proses iaitu bermula daripada sumbernya di ladang hinggalah ke hidangannya iaitu di atas