Lesson Study (Jogyoukenyu): Kajian Perbandingan Jepun dan Malaysia Zanaton Binti H Iksan Aidah Abdul Karim Fariza Khalid Effandi Zakaria, Rosseni Din Md Yusof Daud Roslinda Rosli Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia zanaton.iksan@ukm.edu.my Abstrak: Lesson Study merupakan amalan terkini dalam penyelidikan komuniti yang diperkenalkan dalam bidang pendidikan di Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia mula melaksanakan Lesson Study dalam Komuniti Pembelajaran Professional (Professional Learning Community) di 289 sekolah pada tahun bagi meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini. Sebenarnya Lesson Study telah bertapak di Jepun sejak 100 tahun lalu dan telah menjadi sebahagian budaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka yang telah berjaya melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran untuk mengaplikasi pengetahuan mereka dalam kehidupan seharian. Memandangkan pelaksanaan Lesson Study masih baru di Malaysia berbanding Jepun, maka kertas ini akan membincangkan pelaksanaan Lesson Study di kedua-dua negara ini. Perbincangan memberi tumpuan kepada sejarah dan perkembangan, pembentukan komuniti pembelajaran, penyediaan rancangan pengajaran dan pembelajaran, konsep kelas terbuka dan refleksi pengajaran yanng dilaksanakan di Malaysia dan Jepun. Hasil perbincangan ini dapat memberi implikasi kepada pembinaan budaya komuniti pembelajaran yang mampu meningkatkan pendidikan berkualiti kepada pelajar yang pelbagai di negara ini. Kata kunci: Lesson Study, Komuniti Pembelajaran, Amalan Profesionalisme Guru, Pembelajaran dalam kelas PENDAHULUAN Kualiti pendidikan sebahagian besarnya ditentukan oleh sejauh mana prestasi pelajar yang menggambarkan kualiti dalam sistem pendidikan. Manakala, kualiti pelajar yang dihasilkan mempunyai hubungan yang rapat dengan kualiti pengajaran guru. Bagi meningkatkan kualiti pengajaran guru, beberapa strategi telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan melalui berbagai inisiatif, antaranya melalui komuniti pembelajaran profesional (PLC). Pemilihan PLC dalam meningkatkan kualiti guru adalah berasaskan kepada trend serta perkembangan pendidikan di negara maju kerana telah dikenalpasti bahawa pemantapan komuniti pembelajaran profesional dapat meningkatkan profesionalisma guru.