Geografia Vol 4 Issue 1 (1-20)
© 2007, ISSN 0126-7000
1
TEPUBINA BANDAR: ISU DAN KAITANNYA DENGAN KESIHATAN
EKOSISTEM LEMBANGAN SALIRAN
Noorazuan Md Hashim
Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan & Persekitaran
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia
&
Asmala Hj Ahmad
Jabatan Sains dan Matematik
Pusat Perkhidmatan Akademik
Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Melaka (KUTKM)
Tel : 03-89215618
Fax : 03-89253334
Emel : aizwan68@yahoo.com
azwan@pkrisc.cc.ukm.my
ABSTRAK
Penyelidikan terhadap pengaruh tepubina bandar menjadi agenda utama di dalam
penyelidikan hidrologi lembangan saliran, sama ada di negara maju mahupun di negara
membangun. Matlamat penyelidikan ini adalah untuk memahami keseimbangan di antara
alam sekitar dan pembangunan serta perubahan terhadap tahap kesihatan ekosistem
lembangan akibat dari kesan peningkatan tepubina bandar. Tepubina bandar sebagai
petunjuk kesihatan ekosistem sungai telah diterima oleh pihak pengurusan lembangan
saliran sungai, terutamanya di Amerika Syarikat dan juga di tempat lain. Tepubina bandar
juga dirujuk sebagai petunjuk di dalam pengurusan bersepadu lembangan saliran malahan
sedang dimajukan sebagai petunjuk integratif bandar yang mampu mencerminkan
hubungan simbiosis di antara pembangunan dan persekitaran di dalam sesebuah
ekosistem bandar. Dari aspek hidrologi lembangan, keupayaan permukaan tidak telap
bandar yang menghalang proses penyusupan dan penelusan boleh mengakibatkan
perubahan fizikal khususnya kepada ciri-ciri luahan sungai serta imbangan air sesebuah
lembangan. Artikel ini mengupas isu-isu global dan lokal yang berkait rapat dengan
tepubina bandar, pembangunan metodologi penyelidikannya dan hubungkaitannya
dengan pengurusan lembangan saliran serta meninjau potensi kepenggunaannya sebagai
satu petunjuk kesihatan ekosistem lembangan saliran di Malaysia.
Petunjuk: tepubina, kesihatan ekosistem, hidrologi lembangan