1 Pendekatan Temubual Sebagai Metod Kajian Kes. Suatu Persepsi Di Kalangan Pelajar Perempuan Cemerlang Terhadap Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Noormala Binti Ali Mohamed Sharif Bin Mustaffa, Ph.D Roslee Bin Ahmad Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia Abstrak Artikel ini membincangkan penggunaan pendekatan kualitatif melalui temubual sebagai metod kajian kes. Perisian Atlas/ti versi 4.1 digunakan untuk menganalisis transkripsi temubual, membina tema, kategori dan subkategori dalam kajian ini. Penyelidikan ini bertujuan untuk meninjau persepsi para pelajar perempuan yang cemerlang dari aspek akademik terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sebuah sekolah menengah harian di daerah Muar, Johor. Penyelidikan dijalankan ke atas enam orang pelajar perempuan cemerlang tingkatan empat berusia di antara 15 hingga 16 tahun yang tidak pernah berjumpa kaunselor. Keputusan menunjukkan pelajar-pelajar mempunyai persepsi yang positif dan percaya perkhidmatan tersebut boleh memberi bimbingan akademik dan kerjaya serta boleh membantu mereka menyelesaikan masalah. Namun fenomena itu masih belum cukup untuk mendorong mereka berjumpa kaunselor. Ini adalah kerana mereka masih mempunyai persepsi yang negatif terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dalam aspek kerahsiaan, kurang bersedia berkongsi masalah, rasa rendah diri, dan tidak yakin kaunselor dapat menyelesaikan masalah peribadi mereka. Implikasi dan beberapa cadangan untuk penambahbaikan perkhidmatan tersebut juga diberikan. Pengenalan Menurut Burn (1995), Merriem (1998) dan dan Yin (1995) penggunaan rekabentuk penyelidikan kajian kes menggunakan data kualitatif amat sesuai apabila sesuatu kajian melibatkan pemerhatian seseorang individu atau unit, satu kumpulan manusia, keluarga, satu kelas, sekolah, satu masyarakat, peristiwa atau budaya. Sesuatu kajian kes harus memfokus kepada subjek yang mempunyai sesuatu kriteria atau ciri yang ingin dikaji. Ini