PENGGUNAAN ICT DALAM KALANGAN GURU PELATIH KEMAHIRAN HIDUP FAKULTI PENDIDIKAN, UTM M.Al-Muz-Zammil Bin Yasin & Abd. Muezzam Shah Bin Abdullah Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia ABSTRAK: Tujuan kajian ini adalah untuk melihat penggunaan ICT dalam kalangan guru-guru pelatih Kemahiran Hidup Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia Skudai Johor. Kajian ini melibatkan seramai 151 orang guru pelatih Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan Kemahiran Hidup (SPH) yang telah menjalani latihan praktikum. Instrumen kajian yang telah digunakan ialah set soalan soal selidik yang dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian A digunakan untuk melihat latar belakang responden. Manakala untuk bahagian B pula untuk menjawab keempat-empat persoalan kajian yang dikemukakan. Data yang diperolehi telah diproses dengan menggunakan perisian “Statitiscal Package for Sosial Sciences” (SPSS) Version 15.0 untuk menilai peratusan dan min. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kemahiran pada guru pelatih Kemahiran Hidup terhadap penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran berada pada tahap yang sederhana (min 3.31), manakala sikap guru pelatih Kemahiran Hidup terhadap penggunaan ICT menunjukkan pada tahap yang tinggi (min 4.06). Hasil kajian mendapati wujudnya beberapa masalah terhadap penggunaan penggunaan ICT dalam kalangan guru-guru pelatih semasa proses pengajaran dan pembelajaran dan berada pada tahap yang sederhana (min 2.65). Hasil kajian juga mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara penggunaan ICT dengan faktor jantina dan faktor program dalam kalangan guru pelatih Kemahiran Hidup UTM semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Di akhir kajian, penyelidik telah mengemukakan beberapa cadangan yang boleh diteliti oleh pihak-pihak tertentu untuk memaju dan meningkatkan lagi penggunaan ICT di kalangan guru pelatih. ABSTRACT: The purpose of this study was to observe the usage of ICT among 151 trainee teachers at the Faculty of Education, University Technology Malaysia, Skudai. The questionnaire used in this study was divided into two sections, (1) Section A to observe the respondent’ background and (2) section B to answer the four research questions in the study. Data analysis was carried out using the Statistical Package for Social Sciences (SPSS) software version 15.0 to evaluate the percentage and mean. The results of this study indicate that the ICT skills of the trainees was at moderate level (mean 3.31), whereas their attitude towards ICT was high (mean 4.06). Meanwhile, the overall level of problems faced by the trainees was at moderate level (mean 2.65). The result of the study also showed that there was no significant difference in the usages of ICT based on trainees’ gender and program. Researcher concluded various suggestions that can be taken into actions in order to promote the usage of the ICT among trainee teachers. Kata kunci: ICT, Statitiscal Package for Sosial Sciences (SPSS), Kemahiran Hidup PENGENALAN: Negara Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun telah mensasarkan status negara maju menjelang tahun 2020. Dalam Konteks pendidikan di Malaysia, bagi merealisasikan Wawasan 2020 kerajaan tidak mahu ketinggalan dalam arus pembangunan ICT. Mohd Arif dan Rosnaini (2003) menyatakan ICT adalah pengupaya yang menjadi tunjang penting dalam urusan P&P dan pengurusan sekolah. Jesteru, pihak kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kesediaan dan penggunaan ICT dalam kalangan guru dan pelajar dengan kemahiran-kemahiran teknologi terkini.