1 Kebimbangan Komunikasi di Kalangan Pelajar UTM: Satu Realiti atau Mitos? Dr. Nik Hasnaa Bt Nik Mahmood Kolej Sains Dan Teknologi, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Teknologi Malaysia City Campus, Jalan Semarak, 54100 Kuala Lumpur nikhasna@citycampus.utm.my Abstrak: Tujuan kertas kerja ini adalah untuk mengkaji tahap kebimbangan komunikasi di kalangan pelajar-pelajar diploma tahun akhir UTM City Campus. Secara khususnya objektif kajian ini adalah untuk : 1) mengkaji hubungan di antara tahap kebimbangan komunikasi pelajar dengan faktor-faktor demografi seperti jantina, kursus, tempat tinggal dan pendapatan ibu-bapa, 2) untuk mengkaji hubungan antara tahap kebimbangan komunikasi dengan tahap pencapaian akademik pelajar. Kajian ini dilakukan dengan menggunakan kaedah tinjauan. Seramai 200 pelajar diploma tahun tiga terlibat dalam kajian ini. Kaedah persampelan rawak mudah digunakan untuk mendapatkan responden kajian. Alat ukuran PRCA 24 telah digunakan untuk mengukur tahap kebimbangan komunikasi pelajar. Data dianalisis menggunakan kaedah statistik deskriptif dan inferensi. Hasil kajian menunjukkan 29.5% pelajar berada di tahap kebimbangan komunikasi tinggi, 48.5% di tahap kebimbangan komunikasi sederhana dan 22.0% di tahap kebimbangan komunikasi rendah. Hasil ujian khi-ganda dua mennunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kebimbangan komunikasi dengan bangsa, kursus, tempat tinggal dan pendapatan ibu-bapa. Walaubagaimanapun hasil kajian menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di antara tahap kebimbangan komunikasi dengan jantina dan pencapaian akademik. Implikasi kajian dan dan cadangan turut dibincangkan dalam kertas kerja ini. Katakunci: Kebimbangan komunikasi, jantina, status sosio-ekonomi, pencapaian akademik. Pendahuluan Konsep kebimbangan komunikasi diperkenalkan oleh James McCroskey (1977) Kebimbangan komunikasi pada awalnya merujuk kepada situasi takut atau risau untuk berkomunilkasi secara lisan akibat pelbagai punca. Menurut McCroskey (1977), konsep kebimbangan komunikasi kemudian berkembanag menjadi tahap ketakutan atau kerisauan yang dialami individu berkenaan berkaitan dengan komunikasi sebenar atau komunikasi yang dijangkanya dengan orang lain. Pada asasnya kebimbangan komunikasi boleh berlaku kerana ia suatu tret semata-mata-mata atau sesuatu yang bergantung kepada keadaan. Kebimbangan komunikasi tret merujuk kepada ketakutan individu untuk berkomunikasi dalam semua keadaan atau konteks komunikasi Ia boleh berlaku dalam situasi komunikasi diadik, kumpulan kecil, pengucapan awam dan massa. Kebimbangan komunikasi keadaan pula merujuk kepada kerisauan untuk berkomunikasi dalam keadaan yang khusus seperti ketika berucap di khalayak awam tetapi tidak risau menghadiri temuduga untuk pekerjaan baru (Richmond & McCroskey, 1989). McCroskey (1984) berpendapat sebenarnya kebimbangan komunikasi berlaku dalam satu kontinuum yang merangkumi satu penghujung ekstrim tret dan satu lagi penghujung ekstrim keadaan. Empat titik boleh dikenalpaasti di atas kontinuum ini iaitu kebimbangan komunikasi seakan tret; kebimbangan komunikasi konteks umum, kebimbangan komunikasi individu-kumpulan dan kebimbangan komunikasi situasi. Kebimbangan komunikasi seakan tret ialah ketakutan untuk berkomunikasi dalam pelbagai konteks tertentu samada diadik, kumpulan, pengucapan awam mahupun