1.0 PENGENALAN Dalam dekad tujuh puluhan, kenyataan bahawa negara ini adalah negara pertanian tidak boleh dinafikan. Peranan utama sektor pertanian pada ketika itu adalah eksport utama, sumber pendapatan eksport yang digunakan untuk mencapai objektif sosio-ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan dan pembekal sumber makanan. Sektor pertanian telah menjadi penggerak utama dan enjin yang menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pertanian memberi pekerjaan hampir kepada seluruh penduduk termasuklah belia, mengeluarkan lebih satu perempat dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menyumbang lebih dari satu pertiga dari jumlah eksport negara dan menerima peruntukan perbelanjaan pembangunan yang terbesar berbanding sektor ekonomi lain. Dalam dekad sembilan puluhan beberapa cabaran penting telahpun dihadapi dalam membangunkan sektor pertanian. Hasil semakan dan kajian semula, telah lahir Dasar Pertanian Negara II (1992-2010) yang khusus diformulakan. Sektor pertanian kembali dihargai dalam keadaan terdesak kerana berlakunya situasi kejatuhan nilai Ringgit kerana makanan merupakan keperluan manusia untuk terus hidup. Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan kos mengimport bahan makanan meningkat dengan ketara. Jumlah nilai import bahan makanan pada tahun 1997 ialah RM10.035 bilion iaitu meningkat sebanyak 10.7 peratus daripada tahun 1996 iaitu senyak RM9.066 bilion. Sejak penghujung 1998, sektor pertanian mula diberi perhatian semula. Tanah terbiar telah banyak digembleng untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara negara dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM1 bilion import bahan makanan setahun dengan mengusahakan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada tanah terbiar di Semenanjung yang dianggarkan seluas di antara 800,000 hektar dan sejuta hektar. Idea baru pihak kerajaan ialah menggalakkan pertanian komersial yang mementingkan penggunaan kaedah moden di setiap peringkat aktiviti pertanian. Program Taman Kekal Pengeluaran Makanan(TKPM) juga merupakan satu strategi di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk menggalakkan pelaksanaan projek pertanian secara berskala besar, komersial dan berteknologi tinggi. Penggunaan benih, baka, baja dan racun serangga yang berkualiti setelah dilakukan penyelidikan telah menghasilkan tanaman yang berkualiti disamping mendapat kuantiti hasil yang lebih banyak. 1