This is pre‐published version Tradisi Merantau Masyarakat Melayu Dahulu Dan Sekarang: Suatu Perbandingan Shida Irwana Omar Nurbaidura Salim Badaruddin Mohamed Pengenalan Kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu sangat sinonim dengan aktiviti merantau. Tradisi merantau dianggap sebagai semangat atau motivasi dalam membina kehidupan dan menentukan arah tuju masa depan setiap individu, keluarga dan juga masyarakat. Istilah merantau berasal daripada perkataan Indonesia yang bermaksud belayar mencari penghidupan di sepanjang rantau dari satu sungai ke sungai yang lain (Kamus Bahasa Indonesia Online 2011). Perkataan rantau yang menjadi kata akar kepada istilah ini merujuk kepada nama-nama tempat yang terdapat di seluruh kepulauan dan Semenanjung Nusantara (Khazrin 2001: 76). Wujud perkaitan yang rapat antara alam rantau dan tradisi merantau di Nusantara. Hal ini dapat diperjelaskan menerusi corak kehidupan orang Melayu yang berasaskan konsep dan amalan hidup yang sentiasa berpandukan kepada kerjasama serantau (Khazrin 2001: 76). Bagi pentakrifan yang lebih menyeluruh, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2011) mendefinisikan merantau sebagai belayar, berjalan atau mengembara ke negeri lain dari tempat asalnya untuk mencari penghidupan lain. Golongan perantau dalam kalangan masyarakat Melayu dapat dikategorikan dalam tiga kelompok berdasarkan kepada pola pergerakan inter dan intra kawasan. Kelompok pertama dikenali sebagai orang dagang atau orang luar. Orang dagang ini merujuk kepada mereka yang merantau dari daerah atau negeri di tanah seberang Kepulauan Melayu ke Semenanjung Tanah Melayu dengan tujuan seperti meneroka,