1 PEMBANGUNAN POLITIK PASCA MAHATHIR MOHAMAD: LIBERALISASI ATAU PENDEMOKRASIAN? 1 Muhamad Takiyuddin Ismail & Muhammad Febriansyah 2 Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia E-mel: taki_prk@yahoo.com Abstrak Kertas kerja ini menilai pembangunan politik pasca era Mahathir Mohamad (1981-2003). Ketertutupan dan dominasi yang selama ini mencirikan karektor rejim parti dominan, UMNO-BN berubah dengan signifikan apabila penggantinya, Abdullah Badawi (2003-2009) melaksanakan beberapa pengenduran politik (political relaxation). Biarpun tidaklah secara substantif menukar bentuk rejim dari semi-demokrasi ke demokrasi penuh, ia merupakan perubahan yang dapat dianggap berani mempertimbangkan kerigidan sistem yang diwarisinya. Pengganti Abdullah, Najib Razak (2009-kini) meneruskan pengenduran ini dengan memansuhkan beberapa akta kawalan dan mengisytiharkan era kerajaan serba mengetahui telah berakhir. Begitu pun, di sebalik pengenduran ini, pembangunan politik Malaysia dihujahkan masih terkekang dalam kerangka liberalisasi (reformasi) dan bukannya pendemokrasian (transformasi). Dengan melihat kepada beberapa perbezaan penting antara kedua-duanya, kertas kerja ini mengemukakan beberapa halangan dan kekangan yang membataskan pembangunan politik di Malaysia. Ia mengambil pendirian bahawa fasa yang sesuai menggambarkan situasi demokrasi Malaysia pada saat ini ialah transisi demokrasi (democratic transition) dan bukannya pengukuhan demokrasi (democratic consolidation). Prospek terhadap pendemokrasian disarankan turut menimbulkan persoalan apabila perkembangan selepas PRU-13 menyaksikan rejim pemerintah kembali menggunakan ‘menu manipulasi’. Kata kunci: pendemokrasian, liberalisasi, politik reformasi, konservatisme 1 Kertas Kerja Persidangan Transformasi Sosial Kebangsaan 2013 (Transformasi): Kelestarian Pembangunan Dan Komuniti Mencapai Wawasan’, Anjuran Unit Penyelidikan Etnografi Dan Pembangunan (Upep) & Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah 27-28 November 2013. 2 Penulis merakamkan penghargaan kepada UKM yang menaja kajian ini melalui geran GGPM 2013-040 dan DPP 2013-189