FAKTOR RISIKO DAN PENGURUSAN KESIHATAN WARGA EMAS YANG MENGALAMI MALPEMAKANAN DI HOSPITAL Sakinah Harith 1 , Suzana Shahar 2 , Noor Aini Mohd Yusof 2 & Philip Poi Jun Hua 3 1 Program Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia. 2 Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, Malaysia. 3 Unit Geriatrik, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia. E-mel: sakinah@kck.usm.my ; Tel: 609-7677637; Fax: 609-7677515. ABSTRAK Bilangan warga emas di Malaysia akan meningkat daripada 7% pada tahun 2007 kepada 15% pada tahun 2035. Pertambahan dua kali ganda ini menyebabkan aspek pengurusan kesihatan perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan masyarakat. Malpemakanan dalam kalangan warga emas semakin bertambah ekoran daripada peningkatan pelbagai penyakit kronik yang muncul. Objektif kertas kerja ini akan membincangkan faktor penyebab kepada kewujudan malpemakanan dan pengurusan kesihatan yang boleh diaplikasi oleh ahli profesional kesihatan. Faktor penyebab risiko malpemakanan terdiri daripada faktor individu dan organisasi. Faktor individu boleh dipengaruhi oleh fisiologi, patologi, sosiologi dan psikologi. Manakala antara faktor organisasi yang boleh dikaitkan adalah kekurangan staf di hospital, kurang kesedaran tentang keperluan merawat malpemakanan dan tiada ilmu untuk mendiagnos malpemakanan. Pembentukan Alat Penyaringan Risiko Malpemakanan di Hospital (MRST-H) dapat membantu ahli profesional kesihatan dalam menguruskan malpemakanan warga emas di hospital. MRST-H ini boleh mengenalpasti individu yang berisiko terhadap malpemakanan dan layak untuk mendapat intervensi pemakanan dengan segera. Sebagai kesimpulannya, ahli profesional kesihatan, kerajaan dan masyarakat perlu sedar akan kepentingan kesihatan warga emas untuk kesejahteraan mereka. Hal ini dapat membantu ekonomi negara dalam mengurangkan kos perubatan dan menjamin kualiti hidup masyarakat yang sempurna. PENGENALAN Warga emas adalah mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1982; WHO 1989) manakala warga emas mengikut kronologi dan gerontologi pula adalah individu yang berusia 65 tahun dan ke atas. Malpemakanan kerap berlaku dalam kalangan warga emas yang dimasukkan ke hospital. Hal ini bergantung kepada kehadiran penyakit primer dan prosedur klinikal yang perlu dijalani semasa di hospital yang menyebabkan halangan kepada mereka untuk mendapatkan pemakanan yang mencukupi dan menyeluruh. Namun, faktor yang mempengaruhi status pemakanan warga emas yang berada di hospital akan dibincangkan dalam kertas kerja ini secara lebih terperinci. Malpemakanan adalah suatu keadaan yang berlaku akibat ketidakseimbangan pengambilan makanan seorang individu dengan keperluan pemakanan yang disyorkan untuk penjagaan kesihatan yang optimum (WHO 1995; Allison, 2000). Warga emas berisiko terhadap malpemakanan kerana mempunyai sistem pertahanan tubuh yang lemah, kemunculan penyakit kronik, penggunaan pelbagai ubatan dan peningkatan kesukaran melalui kehidupan seharian (Clarke 1993). Dianggarkan seorang daripada empat orang warga emas yang memasuki hospital atau institusi penjagaan warga emas akan mengalami malpemakanan (Clarke 1993). Di negara maju, dilaporkan prevalens malpemakanan dalam kalangan warga