Apa itu jambatan kekuda? Jambatan kekuda merupakan sejenis jambatan yang mana struktur utama pembawa beban terdiri daripada kekuda yang diperbuat daripada batang-batang keluli yang dikimpal atau dibolkan bersama, disusun membentuk kekuda berbentuk segitiga atau silang, bergantung kepada rekaan. Jambatan kekuda dianggap sebagai jenis jambatan moden tertua. Struktur kekuda ini membolehkan analisis daya dilakukan dengan mudah, dengan mengguna pakai salah satu cabang fizik iaitu statik. Ia seterusnya memudahkan pemilihan jenis besi keluli sebagai bar topang, bersesuaian dengan kos dan tahap kekuatan jambatan yang dikehendaki. Pada sesebuah jambatan kekuda, bar gelegar yang merentangi sungai berkecenderungan untuk dibengkokkan oleh kenderaan yang lalu-lalang melalui kilasan yang terhasil daripada berat kenderaan. Namun, kilasan tersebut seterusnya dineutralkan oleh kekuatan mampatan dan tegangan yang terhasil pada batang-batang topang besi yang disambung bersama-sama menjadi kekuda. Dalam analisis mudah, komponen-komponen pengikat seperti skru dan bol dianggap tegar dan daya ricih yang bertindak pada pengikat diabaikan. Hasilnya, berat kenderaan yang melalui jambatan dapat diagihkan kepada setiap batang topang besi dengan sekata. Terdapat pelbagai jenis rekaan jambatan kekuda besi, tetapi rekaan yang paling meluas digunakan adalah:- Kekuda Warren - batang-batang topang besi disusun membentuk banyak segitiga sama. Merupakan rekaan paling lazim.