ISU ETIKA GURU : ISU KESANTUNAN GURU 1.0 PENDAHULUAN Profesion keguruan merupakan profesion amat terpuji dan mulia di kaca mata masyarakat. Menurut Mohd. Fadzly (2011), fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Hal ini kerana guru bukan sahaja mengajar subjek tertentu di dalam kelas malah mereka merupakan ejen kepada perubahan minda masyarakat. Guru yang bertindak sebagai agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. Di samping itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah melakukan pelbagai usaha untuk menjadikan profesion perguruan sebagai profesion yang unggul dan disegani ramai (Noriati et.al, 2010). Sehubungan dengan itu, para guru dituntut agar sentiasa profesional dalam menjalankan amanah mereka sebagai seorang pendidik. Seorang guru yang profesional perlu mematuhi peraturan yang termaktub dalam etika profesion keguruan. Etika membincangkan sama ada betul atau salahnya sesuatu perlakuan. Menurut Thiroux (2000) dalam Foo (2005), etika merujuk kepada satu bahagian moral (morality) yang mengkhususkan perbincangan tentang tingkah laku dan nilai manusia. Di Malaysia, para guru perlu mematuhi kod etika keguruan. Kod etika keguruan ini dirangkakan sebagai panduan kepada para guru agar tidak melakukan sesuatu yang boleh mencemarkan imej profesion keguruan. Kod etika ini juga mengingatkan para guru agar tidak melibatkan diri dalam salah laku semasa memberi perkhidmatan pendidikan di negara ini. Walau bagaimanapun, kerjaya profesion perguruan pada abad ini tidak terlepas daripada isu-isu yang boleh mencalar imej profesion perguruan itu sendiri. Walaupun isu yang diperkatakan berpunca daripada segelintir guru, namun perkara ini secara tidak langsung telah menyebabkan pandangan masyarakat terhadap profesion perguruan turut tercalar. Oleh itu, bagi tugasan Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru (EDU 3083 ini), penulis akan mengupas mengenai isu salah laku guru dan membuat ulasan mengenai isu kesantunan guru berdasarkan artikel yang telah dipilih. 1