Seminar Hukum Islam Semasa VII 14-15 Disember 2011 Jabatan Fiqh & Usul, APIUM 1 Realisasi Pandangan Fuqaha Tentang Makanan Berasaskan Nilai Saintifik Semasa Mohammad Aizat Jamaludin, Mahmood Zuhdi Hj Ab. Majid, Mohd Anuar Ramli, Nor Nadiha Mohd Zaki, Suhaimi Ab. Rahman & Dzulkifly Mat Hashim Abstrak Perkembangan sains dan teknologi telah memberi impak positif terhadap kehidupan manusia termasuk dalam penghasilan produk makanan dan bukan makanan. Dewasa ini telah timbul pelbagai isu halal haram sama ada berkaitan dengan bahan yang digunakan, cara pemprosesan dan penyediaan barangan akhir kepada para pengguna. Khususnya berkaitan dengan bahan yang digunakan, isu yang seringkali timbul adalah sumber berasaskan khinzir dan derivatifnya, darah, bangkai, alkohol dan arak. Sejajar dengan itu, dalam menangani isu berkenaan para fuqaha telah mengemukakan pendekatan bervariasi sebagai jalan penyelesaian terhadap persoalan yang timbul sama ada berasaskan sumber primer dan sekunder hukum Islam. Sumber hukum ini dimobilasikan melalui jentera ijtihad sama ada berbentuk jama`ie (kolektif) ataupun fardi (individu). Dalam menjana aktiviti ijtihad, beberapa nilai baru boleh diambil kira bagi memantapkan hukum yang akan diputuskan. Antaranya nilai budaya dan nilai saintifik. Justeru, kertas kerja ini akan menjelaskan tentang nilai saintifik dan hubungan timbal baliknya dengan hukum Islam. Beberapa isu tentang makanan akan dibincangkan bagi merealisasikan pengambilkiraan nilai saintifik dalam penetapan hukum Islam. Kata kunci: sains & teknologi, hukum Islam, halal haram, ijtihad Pengenalan Polemik penentuan status halal haram dalam produk makanan sering kali diperdebatkan. Saban tahun timbul pelbagai isu berkaitan makanan yang mana penyediaannya berasaskan perkembangan sains dan teknologi dari segi sumber bahan, cara penyediaan, pemprosesan, penghantaran sehinggalah ia dihidangkan di atas meja. Perubahan penghasilan makanan kini berbeza sebagaimana ia disediakan terdahulu. Penggunaan enzim, emulsifier, bioteknologi dan sintetik adalah merupakan di antara beberapa bahan asas yang dimasukkan bersama di dalam penghasilan makanan kini dengan fungsi yang pelbagai. Di antara faktor