PERINDUSTRIAN NEGARA: PUNCA TENAGA BURUH ASING SEMAKIN MENINGKAT DAN KESANNYA TERHADAP SEKTOR PERTANIAN DAN PERLADANGAN Ahmad Zairy Bin Zainol Abidin Pengenalan Perindustrian merupakan satu pendekatan yang dijalankan dalam usaha untuk memajukan sesebuah negara. Perindustrian dilihat sebagai satu langkah yang perlu dilaksanakan dalam memastikan sesebuah negara itu dapat keluar daripada kepompong pemiskinan dan kemunduran. Setiap negara merangka dan merancang pelan perindustriannya sendiri berdasarkan keperluan dan kehendak negara yang bertujuan untuk memajukan negara mereka. Malaysia juga tidak terkecuali dalam memastikan sektor perindustrian menjadi sebagai sebuah pemangkin pembangunan dalam memajukan negara. Selaras dengan idea tersebut, negara telah merangka Dasar Perindustrian Negara (DPN) pada tahun 1983 dan Pelan Induk Perindustrian (PIP) pada tahun 1986. Penggubalan Dasar Perindustrian Negara melambangkan keazaman kerajaan untuk mempergiatkan lagi proses industrialisasi negara agar sektor pembuatan menjadi punca utama pertumbuhan ekonomi negara dan Pelan Induk Perindustrian pula sebagai pelengkap untuk memastikan Dasar Perindustrian Negara dapat di capai dengan jayanya (Pejabat Perdana Menteri. 2013). Dasar Perindustrian Negara dan Pelan Induk Perindustrian umumnya memberikan penekanan terhadap sektor pembuatan dan perkilangan namun begitu, menyusuri arus pembangunan dan perindustrian ini, tempiasnya juga dirasai oleh sektor-sektor lain seperti pertanian dan perladangan. Sektor pertanian dan perladangan merupakan salah sektor penting yang mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia kerana merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah yang utama kepada penduduk dunia. Kebolehan sesebuah