1.0 PENGENALAN Seni Silat atau Pencak Silat adalah salah satu seni mempertahankan diri bagi bangsa Melayu atau Nusantara yang diamalkan sejak berkurun yang lampau. Usia sesebuah ilmu atau salasilah seni silat tidak dapat dihuraikan secara terperinci dan tepat kerana tiada usaha-usaha untuk mengkaji dari pihak berwajib secara mendalam. Ada yang menganggarkan seni ini telah berusia beratus-ratus tahun dan diperturunkan dari generasi ke generasi. Ini termasuklah pengamal-pengamal seni mempertahankan diri ini di Brunei, Filipina, Indonesia, Malaysia, dan Thailand. Mereka yang belajar silat digelar pesilat. Amalan sekarang, pengajar atau guru silat digelar jurulatih dan seorang yang mewarisi aliran sesuatu perguruan digelar Guru Utama aliran itu. Kebanyakan guru silat kini menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka gelaran 'maha' hanya sesuai untuk Allah (Tuhan) dan ini menepati perawakan guru silat yang kebiasaannya gemar menyembunyikan kemahiran mereka dan amat merendah diri. Pesilat senior yang telah lama berkecimpung dalam dunia silat sebagai pengajar (atau menyembunyikan kemahiran mereka), berkemahiran tinggi dan ada di antaranya mewarisi beberapa aliran yang telah hilang digelar sebagai Guru Tua dan amat dihormati. Pesilat yang mempunyai tahap silat yang tinggi digelar sebagai pendekar. Kini seni silat atau pencak silat sudah dijadikan satu sukan utama di Asia tenggara dan melalui sukan silat olahraga ini lahirlah beribu-ribu atlet silat olahraga di setiap negara untuk dipertandingkan dalam sukan sea terutamanya. Untuk menjadi seorang atlet silat olahraga yang unggul perlulah ada beberapa ciri-ciri penting yang membolehkan setiap atlet menjadi lebih profesional berbanding atlet-atlet lain sekali gus dapat mewakili negara serta dapat mengharumkan nama negara dalam pertandingan sukan silat olahraga di peringkat antarabangsa.