Semenar Penerbitan Biografi Malaysia 2005: Memperkasa Korpus Warisan Menerusi Penulisan Biografi, 18-19 November, 2005, Hotel Marriott Putrajaya Biografi Tokoh Cina Malaysia Pinggir Abad 19 Ding Choo Ming Felo Penyelidik Kanan Institut Alam & Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 UKM Bangi e-mail: chooming@pkrisc.cc.ukm.my Pengenalan Biografi adalah karya mengenai orang. Banyak sekali karya seumpama itu sudah diterbitkan setiap negara sepanjang. masa. Jumlah yang besar itu adalah kerana semua orang suka segala macam kisah orang lain, terutamanya orang yang terkenal. Ini disebabkan banyak soalan tentang diri mereka itu boleh dijawab dalam karya itu. Antaranya berapa apa yang menyebabkan mereka menjadi terkenal? Berapa usia mereka? Bangsa apa? Mengapa mereka mempunyai kelebihan yang tidak dipunyai orang lain? Mengapa orang lain tidak boleh mencapai tahap kejayaan setinggi itu? Sehubungan itu, sudah lahir pelbagai jenis biografi. Antaranya, biografi orang yang masih hidup dan yang sudah berpulang. Secara umum, biografi boleh dibahagikan kepada lima jenis: yang sejagat, yang lokal, yang retrospektif, yang semasa dan yang khusus. Tentunya biografi sejagat adalah yang paling besar dan yang paling banyak maklumat kerana ia cuba memuatkan biodata semua orang yang terkenal, tidak mengira tempat dan masa. Sebaliknya, biografi retrospektif hanya memuatkan biodata orang yang sudah meninggal. Kalau demikian, biografi semasa adalah sumber rujukan tentang orang yang masih hidup semasa ia disusun. Demikian juga skop biodata dalam biografi khusus atau yang lokal. Hampir setiap negara mempunyai kamus biografi seumpama Who’s Who yang lazimnya menerbitkan serpihan kisah hidup orang yang terkemuka di negara itu, sama ada di jabatan awam atau swasta, malahan yang kerja sendiri. Antara persoalan yang boleh dibangkitkan berkenaan kisah hidup di dalam biografi itu ialah adakah semua maklumat itu tepat, lengkap dan terkini? Jawapannya ialah tidak. Ini disebabkan maklumat yang dicetak itu adalah berdasarkan jawapan yang diberi informan sendiri kepada borang soal- selidik yang diedarkan penerbit tanpa disemak dan disahkan pihak ketiga. Dalam proses itu, banyak serpihan kisah hidup mereka yang berkenaan itu sudah tertinggal, atau sengaja ditinggalkan, malahan sengaja disembunyikan, maka kisah hidup mereka itu sudah berbeza daripada yang sebenarnya, yang hanya diketahui orang lain yang rapat dengan mereka. Kisah hidup itu, tidak kira yang baik atau yang buruk, mungkin tidak akan diketahui orang lain untuk selama-lamanya. Pendek kata, biodata dalam kebanyakan biografi, kamus biografi, memoir, obituary dan autobiografi mempunyai unsur arbitrari, kerana perbuatan “penyorokan”, “penyembunyian” dan “penipuan”. Tetapi, ini tidak sekali-kali bermakna kita merasa syak dan ragu-ragu tentang semua kisah hidup yang dicetak itu. 1