International Conference on Education and Regional Development 2016 (ICERD 2016) “Cross-Cultural Education for Sustainable Regional Development” Bandung, Indonesia. 31 October & 1 November 2016 ANALISIS FAKTOR PENERIMAAN TERHADAP APLIKASI E-DAFTAR DALAM KALANGAN KAKITANGAN NIOSH, MALAYSIA Rohaila Mohamed Rosly a , Fariza Khalid a a Fakulti Pendidikan,, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Salangor, Malaysia. Abstrak Pembangunan sistem maklumat pengurusan bukanlah satu yang baru dalam perkembangan dunia teknologi di negara ini. Ia telah digunakan secara meluas dalam sektor awam mahupun swasta selaras dengan kewujudan kerajaan elektronik. Sehubungan itu, satu aplikasi pengurusan maklumat mengenai latihan telah dibangunkan oleh Bahagian Teknologi Maklumat, NIOSH dan dikenali sebagai e-Daftar. Kajian ini untuk mengenalpasti persepsi kakitangan NIOSH terhadap penerimaan aplikasi e-Daftar dari aspek kebolehgunaan dan kemudahgunaan serta mengenal pasti hubungan antara sikap terhadap penggunaan dan penggunaan sebenar aplikasi e-Daftar berdasarkan Model Penerimaan Teknologi (TAM). Kajian ini merupakan kajian deskriptif berbentuk tinjauan yang menggunakan pendekatan kuantitatif. Sampel kajian terdiri daripada 126 kakitangan NIOSH, Malaysia. Soal selidik digunakan sebagai instrumen pengumpulan data yang diedar secara atas talian menggunakan aplikasi QuestionPro. Data dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 23.0. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pembolehubah kemudahgunaan dan kebolehgunaan mempunyai hubungan signifikan dan positif secara langsung terhadap pembolehubah sikap terhadap penggunaan. Kemudahgunaan dan kebolehgunaan juga mempunyai pengaruh positif dan secara langsung terhadap penggunaan sebenar. Sikap terhadap penggunaan juga telah menunjukkan hubungan signifikan yang positif secara langsung terhadap penggunaan sebenar. Secara keseluruhannya di dapati tahap penerimaan pengguna terhadap aplikasi e-Daftar adalah tinggi. Hasil daripada kajian ini diharap mampu memberi penambahbaikan berterusan kepada aplikasi sedia ada serta menjadi bahan rujukan pada kajian akan datang. Kata kunci : sistem maklumat pengurusan, Model TAM, sistem , kemudahgunaan, kebolehgunaan 1. Pendahuluan Pembangunan sistem pengurusan maklumat (SMP) semakin meningkat sejajar dengan saranan kerajaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), iaitu bagi mewujudkan Kerajaan Elektronik yang merupakan salah satu inisiatif Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Penekanan kandungan dalam aspek Kerajaan Elektronik adalah penyampaian serta perkongsian data secara elektronik agar maklumat yang diterima tepat dan pantas secara dalam talian. Bagi sesebuah organisasi yang melibatkan penyimpanan sumber data yang besar, pengurusan terhadap maklumat adalah penting kerana ia merupakan aset yang bernilai. Moh’d Al-adaileh (2009) menekankan bahawa SMP mempunyai pengaruh yang vesar ke atas produktiviti dan keberkesanan organisasi seperti melaksanakan tugasan harian dan proses membuat keputusan. Menurut Said, Haruzuan, Suhaimin dan Intan Marini (2010), penggunaan teknologi maklumat dapat membantu