PROSIDING PERSIDANGAN ANTARABANGSA PENDIDIKAN ISLAM 2013 ISBN: 978-967-10160-4-6 PENDEKATAN PENYELIDIKAN ISLAMI: SATU PENGHIJRAHAN OLEH: HAIROL ANUAR HJ MAK DIN 1 DAN ZAKARIA STAPA 2 ABSTRAK Hijrah atau perubahan merupakan juzuk penting dalam kehidupan insan. Hijrah di dalam jihad pendidikan kelihatan begitu janggal khusus buat golongan intelektual Islam itu sendiri. Hal ini terjadi kerana setelah sekian lama landskap pendidikan di Malaysia berteraskan eurocentric yang bercanggah dengan matlamat Islam yang sebenar. Selaras dengan gagasan pendidikan Islam sebenar yang telah dibincang dan dirumus dalam Persidangan Dunia Pertama Pendidikan Islam yang berlangsung di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1977 dan ditambah dengan keseriusan kerajaan menggalakkan penyelidikan, wajar para intelektual Islam mengambil kesempatan untuk melakukan penghijrahan. Namun amat malang sekali seandainya pendekatan penyelidikan lazim secara berterusan menjadi kompas utama dan selama-lamanya menjadi nadi pendidikan. Justeru itu, penghijrahan perlu dilakukan dengan menjulang pendekatan penyelidikan Islami sebagai satu bentuk penyelidikan dalam ertikata yang sebenar. Justeru itu penyelidikan di peringkat Doktor Falsafah Peradaban Islam ini sedaya upaya mengetengahkan sebahagian pendekatan penyelidikan berteraskan Islam sebagai nilai tambah kepada kaedah penyelidikan lazim yang acap kali digunakan dan menjadi nilai takaran. Sehubungan dengan itu kertas kerja ini dirangka khusus untuk mengetengahkan sebahagian daripada intisari pendekatan penyelidikan Islami sebagai langkah awal kepada penghijrahan pendidikan. PENGENALAN Sejajar dengan asas dan fundamental Islam Hadhari iaitu al-Quran dan al-Hadis (JAKIM 2005), maka penyelidikan di peringkat Doktor Falsafah Peradaban Islam ini sedaya upaya mengimplementasikan pendekatan penyelidikan yang berakarkan tradisi Islam sebagai permulaan kepada satu penghijrahan. Sememangnya diperakui bahawa kaedah penyelidikan yang dominan serta sebati di dalam dunia akademik masa ini adalah kaedah penyelidikan lazim yang dipusakai dari Barat kerana ia diwarisi malah menjadi amalan dan dianggap mempunyai autoriti yang bersifat mutlak. Namun tidak bermakna kaedah penyelidikan lazim ini terlalu sempurna sehinggakan melayakkan pendokong saka ini menafikan kaedah lain selain daripadanya. Pada masa kini, terdapatnya langkah-langkah awal penghijrahan terhadap sistem pendidikan selaras dengan gagasan pendidikan Islam sebenar yang telah dibincang dan dirumus dalam Persidangan Dunia Pertama Pendidikan Islam yang berlangsung di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1977. 1 Pensyarah Jabatan Kemahiran Asas dan Pengajian Umum, KUIS dan Calon PhD Peradaban Islam di Institut Islam Hadhari, UKM (hairolanuar@kuis.edu.my / 013-3749457) 2 Profesor Tasawuf dan Pemikiran Islam, Fakulti Pengajian Islam UKM.