PROSIDING PERSIDANGAN ANTARABANGSA DA’WAH DAN PENGURUSAN ISLAM: PENGAMALAN DAN MASA DEPAN (IC-DAIM 2010) ISBN: 978-967-5852-08-4 PENGARUH SISTEM NILAI KELAS MENENGAH MELAYU DALAM MEMILIH KEPEMIMPINAN POLITIK OLEH: HAIROL ANUAR HJ MAK DIN 1 ABSTRAK Kepesatan arus globalisasi mendedahkan kaum Melayu khususnya kelompok kelas menengah Melayu berhadapan dengan risiko hakisan jati diri. Hal ini boleh di rujuk melalui tiga elemen iaitu kecelaruan sistem nilai, liberalisasi pemikiran dan ketirisan identiti bangsa Melayu dikalangan kelompok ini. Pengaruh sistem nilai di kalangan kelompok kelas menengah Melayu amat penting bagi kelangsungan bangsa Melayu khususnya di dalam soal mengatasi kemelut pemilihan pemimpin. Anteseden sistem nilai masyarakat kelas menengah Melayu ini bakal mencorakkan hala tuju dan survival adikuasa politik bangsa Melayu secara keseluruhannya pada masa hadapan. Justeru kajian terhadap pegangan sistem nilai amat penting di dalam menilai sejauhmanakah sistem ini berpengaruh di kalangan kelompok kelas menengah Melayu di dalam menentukan kepimpinan politik di Malaysia. Sehubungan itu kertas kerja ini akan menyentuh sebahagian daripada pegangan sistem nilai kelompok sasaran dengan mengupas beberapa isu yang berkaitan. PENGENALAN Sistem Nilai merupakan elemen yang amat penting dan mempunyai jalinan yang erat dengan sejarah peradaban manusia. Kegemilangan atau keruntuhan sesuatu tamadun bangsa di corakkan oleh sistem nilai masyarakatnya. Seandainya masyarakat mempunyai sistem nilai yang kukuh maka kerajaan yang dibina akan makmur dan gemilang, sebaliknya jika sistem nilai yang longgar dan seleweng dampaknya kerajaan yang dibina bakal runtuh dan musnah. Justeru pengaruh sistem nilai amat penting di dalam menjamin kelangsungan riwayat sesebuah negara bangsa. Nilai ditakrifkan sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang atau sesebuah institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-nilai utama masyarakat. Mengikut kajian sejarah, ilmu, kebijaksanaan, keadilan, dan iktidal (temperance) merupakan nilai-nilai utama dalam masyarakat. Penerimaan dan penghayatan nilai-nilai utama oleh masyarakat akan menjamin rakyat yang berpendidikan lengkap dalam hubungan masyarakat-perilaku etiket sosial dan budaya ilmu (INTAN 1991). Islam amat menekankan soal nilai, hal ini amat kelihatan samaada secara tersurat mahupun tersirat di dalam Al-Quran dengan memperihalkan kisah-kisah para rasul yang diterangkan bermatlamatkan agar manusia mengambil iktibar daripadanya. Namun semua manusia yang telah diterangkan sehingga kini, mempunyai nilai-nilai yang sama seperti: bersikap zalim kepada Allah, menyekutukan Allah, 1 Pensyarah, Jabatan Peradaban dan Pemikiran Islam, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. H/P: 013-3749457 Emel: hairolanuar@kuis.edu.my