Proceeding of the 2 nd International Conference on Management and Muamalah 2015 (2 nd ICoMM) 16 th 17 th November 2015, e-ISBN: 978-967-0850-25-2 422 PELAPORAN BERITA DI TV ALHIJRAH SEMASA HARI PERKABUNGAN NEGARA: SUATU TINJAUAN Mohd Daly Daud, Rahmahtunnisah Hj. Sailin, Md Rozalafri Johori, Zulkifli Aini (PhD), Muhammad Subari Ramli, Maffuza Salleh, Sulaiman Salleh, Khairiamri Ahmad, & Wawarah Saidpuddin Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Jabatan Mufti Selangor mohddaly@kuis.edu.my ABSTRAK Sejarah tragedi 2014, pastinya sukar untuk dilupakan oleh rakyat di negara ini, apabila satu demi satu tragedi menimpa negara ini. Bermula dengan kehilangan misteri pesawat MH370, diikuti pesawat MH17 yang ditembak jatuh di perbatasan Ukraine-Russia, banjir besar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan pesawat QZ8501 terhempas di perairan Indonesia menambahkan derita kepada mangsa dan keluarga mangsa yang terbabit. Fokus masyarakat tempatan dan antarabangsa terhadap semua insiden ini begitu menggalakkan. Semua stesen televisyen di negara ini bertanggungjawab menyebarkan maklumat terkini kepada penontonnya. Kertas kerja ini bercadang untuk melihat pendekatan pelaporan berita daripada stesen televisyen AlHijrah yang turut menyiarkan berita musibah itu. Kaedah kajian yang digunakan untuk perbincangan ini adalah temu bual terfokus bersama responden kajian mengguna pakai instrumen temu bual yang memfokuskan kepada konstruk pelapor (AlHijrah). Hasil kajian mendapati stesen televisyen AlHijrah mempunyai pendekatan tersendiri dalam melaporkan berita ini bagi menyokong corak pelaporannya. Tegasnya AlHijrah sentiasa menjaga kredibiliti setiap laporannya melalui laporan berita yang disiarkan. Kata kunci: Musibah, Kredibiliti laporan, AlHijrah PENGENALAN Walaupun telah setahun berlalu, tragedi udara yang membabitkan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di perbatasan Ukraine-Russia pada tahun 2014 masih lagi menjadi topik perbualan masyarakat tempatan dan antarabangsa lantaran status penembaknya masih menjadi misteri dan tanda tanya. Bagi kaum keluarga mangsa yang terbabit dalam tragedi berdarah ini, mereka masih berharap pihak yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan.