1 PERKEMBANGAN DAKWAH TERHADAP GOLONGAN BERMASALAH PENGLIHATAN: SOROTAN DARI PERSPEKTIF SEJARAH PENDIDIKAN AL-QURAN Oleh: Hajarul Bahti bt. Zakaria Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Keningau Mohd Huzairi b. Awang@Husain Bani Hidayat b. Mohd Shafie Nor Hayati Fatmi bt. Talib Abstrak: Pendidikan al-Quran tidak dapat dinafikan kepentingan dan peranannya dalam pembangunan ummah. Justeru, Pendidikan al-Quran perlu diberi perhatian dan tumpuan sewajarnya dalam perkembangan pendidikan anak- anak bagi memastikan ia mampu memberi impak yang terbaik dalam proses pembinaan ummah. Kertas kerja ini cuba melihat keperluan gerakan dakwah yang perlu dilaksanakan terhadap golongan bermasalah penglihatan di negara ini dari perspektif Pendidikan al-Quran. Kekurangan upaya dan kemampuan dari sudut penglihatan membataskan pergerakan dan aktiviti fizikal mereka, namun keperluan untuk menguasai dan memahami al-Quran tidak dinafikan kepentingannya terhadap mereka. Mereka juga perlu diberi layanan dan perhatian yang sewajarnya dalam pendidikan al-Quran bagi mengelakkan berlakunya ketidak adilan dalam proses menimba ilmu. Kajian ini cuba menyoroti sejarah perkembangan Pendidikan al-Quran dalam sistem pendidikan kebangsaan di negara kita khusus terhadap golongan bermasalah penglihatan dan beberapa cadangan diutarakan dalam usaha mencapai objektif dan halatuju Falsafah Pendidikan Islam khususnya Tilawah al-Quran dalam kalangan golongan berkeperluan khas bermasalah penglihatan. PENDAHULUAN Pendidikan al-Quran tidak dapat dinafikan kepentingan dan peranannya dalam pembangunan ummah. Justeru, Pendidikan al-Quran perlu diberi perhatian dan tumpuan sewajarnya dalam perkembangan pendidikan anak-anak bagi memastikan ia mampu memberi impak yang terbaik dalam proses pembinaan ummah. Walau bagaimanapun dalam kita memberikan tumpuan terhadap perkara tersebut, terdapat segolongan insan yang kurang bernasib baik dan mempunyai sedikit kekurangan keupayaan berbanding insan lain yang agak terpinggir dan kurang diberi perhatian. Wujudnya golongan kurang upaya dari sudut penglihatan yang membataskan segala aktiviti dan gerak kerja mereka disebabkan kekurangan deria penglihatan untuk melihat sebagaimana insan lain. Desebabkan kekurangan upaya yang berlaku dan mereka ini memerlukan kepada pendekatan yang berbeza berbanding insan lain, maka dakwah terhadap mereka juga agak terkebelakang dan mungkin tidak begitu diberikan perhatian oleh masyarakat. Kajian ini cuba meneliti sejarah perkembangan pendidikan al-Quran dalam usaha untuk memartabatkan dakwah terhadap golongan bermasalah penglihatan di Malaysia, khususnya bidang pendidikan al-Quran dalam sistem pendidikan kebangsaan . GOLONGAN BERMASALAH PENGLIHATAN Pelajar istimewa atau pelajar berkeperluan khas merupakan satu istilah yang umum bagi semua kumpulan pelajar kurang upaya. Pelajar istimewa merupakan pelajar yang memerlukan pendidikan khas dan perkhidmatan yang berkaitan dengannya (Kauffman, J.M., Kameenui, E.J., Birman, B., & Danielson, L. 1990). Pendidikan khas diperlukan oleh kumpulan sasar ini jika mereka menyedari bahawa mereka adalah individu yang berpotensi