Pembelajaran Abad ke-21 : Trend Integrasi Teknologi 71 Whatsapp sebagai Platfom M-Pembelajaran Fatin Fatinah Manap 1 , Fariza Khalid 2 , Aidah Abdul Karim 3 1,2,3 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Malaysia 1 E-mel: ffatin22@gmail.com 2 E-mel: fariza.khalid@ukm.edu.my 3 E-mel: eda@ukm.edu.my PENGENALAN Teknologi mudah alih pendidikan sering digunakan untuk pengajaran dalam talian di universiti-universiti di seluruh dunia (Jimoyiannis et al., 2013). Ia menawarkan peluang kepada pelajar untuk meningkatkan mutu pengajaran dalam talian. Kursus dalam talian ini menjadikan teknologi mudah alih sebagai komponen yang lebih kerap digunakan di samping peningkatan penggunaan terhadap kursus mudah alih universiti. Selain dari itu bilangan kursus mudah alih yang berasaskan web juga semakin meningkat penggunaannya di universiti (Inan, Flores, & Grant, 2010). Maklumat dan komunikasi dikongsi antara pelajar melalui interaksi sosial pada alat mudah alih bagi menggalakkan peluang untuk bekerjasama dalam talian (Barhoumi & Rossi, 2013). Walau bagaimanapun teknologi pendidikan mudah alih juga memberi peluang kepada pelajar untuk berkomunikasi dan berkongsi pengetahuan dengan orang lain (Nelson, Christopher, & Mims, 2009). Alat mudah alih pendidikan telah muncul dan menunjukkan potensi yang besar untuk membantu pelajar dalam membina dan berkongsi maklumat serta pengetahuan melalui komputer atau peranti mudah alih (Pence, 2007). Keberkesanan sesuatu teknologi itu dalam proses pengajaran dan pembelajaran banyak bergantung kepada peranan pengajar. Pengajar harus bijak menggunakan teknologi yang ada dengan menggunakan pedagogi yang bersesuaian. Hal ini demikian kerana, tanpa perancangan yang rapi, penggunaan teknologi semata-mata tidak akan membantu mencapai objektif pengajaran. Menurut Kern (2006), ada menyatakan bahawa penggunaan internet perlu digunakan sebanyak mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan teknologi pada hari kini telah memberi impak yang sangat besar kepada hampir kesemua sistem di seluruh pelosok dunia. Kemajuan teknologi ini bukan sahaja memudahkan proses sesuatu sistem dan meningkatkan kualiti dan kuantiti penghasilan, bahkan ia mempercepatkan lagi proses aliran kerja. Di samping itu, penggunaan teknologi juga dilihat lebih menarik dan efisien. Melalui perkembangan ini, pelbagai pihak mula mengambil perhatian serius terhadap teknologi dan dikaitkan kepada pelbagai bidang. Antara bidang yang menjadi tumpuan ialah bidang pendidikan, yang mana para tenaga pengajar mula menekankan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) di pelbagai peringkat pengajian. Dunia semakin pantas dengan pelbagai teknologi terkini, hardware dan software terkini, media sosial seperti Facebook, We Chat, Skype, Twitter, Instagram, blog-blog, emel menjadi kegilaan ramai termasuklah fenomena terkini aplikasi Whatsapp.