Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu / 1 Yang Mulia Tun Chanselor, Para Ahli Majlis Universiti, Para Ahli Senat Universiti, Para Professor, Pensharah Kanan, Pensharah dan Penolong Pensharah, Para Mahasiswa, Para Tetamu Kenamaan, Dan Para Hadhirin yang dihormati sekalian! I Voltaire pernah berkata bahwa fakta 2 sejarah yang bersifat runchitan dan yang tiada membawa kepada sesuatu matlamat merupakan kepada sejarah sebagaimana barang 2 angkutan merupakan kepada tentera–yaitu sebagai beban rintangan belaka; kita harus memandang sejarah dengan pandangan semesta, justru sebab akal insan itu sedemikian kechilnya sehingga jikalau dibebani fakta2 yang be-runchit 2 itu nischaya akan tertindislah ia. Meskipun tilikan fakta 2 yang terpenchil itu menunjukkan dan menyatakan perkara-perkara yang benar berlaku dalam sejarah, namun jikalau dilihat dari sudut hiasan permandangan alam sejarah maka fakta2 itu menjadi palsu pula dan merupakan se-akan2 antinomi dalam falsafah sejarah. Kita harus menganggap fakta2 yang sedemikian itu sebagai perkataan2 yang disusun dalam kamus; sungguhpun tiap sesuatu daripadanya menjelaskan kebenaran maknanya, akan tetapi pada keseluruhannya ia tiada mengandung makna sebab penyusunannya hanya berdasarkan pada giliran huruf2nya dalam abjad, bukan pada mempersangkut-pautkan konsep2 perkataan2 penting yang dapat menayangkan suatu gambaran mengenai pandangan hidup masharakat yang menggunakan bahasa yang diperkamuskan itu. Maka ibaratnya samalah seperti kiasan yang pernah digunakan oleh Macaulay peri pengalaman pengembara Gulliver di negeri Brobdingnag yang didiami oleh manusia 2 tinggi-besar seperti raksasa.