Guru Besar Kena Gomol Sebab Tegur Kelas Bising Nama : Chin Kim Tsuey No. Matrik : 200930134003 Artikel : Guru Besar Kena Gomol Sebab Tegur Kelas Bising Dalam era globalisasi masa kini, banyak perkembangan dan pembangunan dari pelbagai aspek yang berlaku di sekeliling kita. Sama ada kita sedar atau tidak, perkembangan dan pembangunan yang kita lihat hari ini adalah hasil kerjasama ahli masyarakat terutamanya golongan profesional. Antara bidang profesional yang terlibat adalah keguruan, perubatan, kejuruteraan, perundangan dan sebagainya. Menurut Ornstein dan Levine (1993), konsep profesional merujuk kepada ciri-ciri yang terdapat dalam kalangan ahli suatu profesion. Antara ciri-ciri yang telah dinyatakan adalah cekap dan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diceburi dan adanya kod etika yang mengawal tingkah laku ahli. Guru juga adalah seorang yang profesional. Ini bermakna guru adalah seorang yang mendapat latihan yang khusus, berpengetahuan luas dan pakar dalam bidang yang diceburi serta ada kod etika yang tersendiri. Berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan, profesion keguruan pada hari ini dilihat semakin goyah kerana ada segelintir guru yang sanggup melanggar kod etika keguruan yang telah sedia termaktub. Ini terbukti apabila semakin banyak isu mengenai salah laku guru tersiar di internet dan dada- dada akhbar. Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak isu mengenai guru dan keguruan disiarkan dalam media massa. Sebagai contoh, guru besar kena gomol sebab tegur kelas bising. Kes ini berlaku di sebuah sekolah rendah di Georgetown di mana murid terpaksa menonton aksi ’kung fu’ antara guru besar dan guru kelas mereka selepas berlaku perselisihan faham antara dua pendidik itu. Pergaduhan tercetus selepas guru besar menegur cikgu itu yang gagal mengawal murid daripada membuat bising. Suasana menjadi kecoh sehinggalah guru lain terpaksa campur tangan untuk meleraikan pergaduhan antara kedua-dua orang guru yang terbabit itu. Akibat daripada pergaduhan itu, guru besar yang terbabit cedera di kedua-dua belah tangan dan juga bahagian belakang kepala.