Bunuh diri; tekanan, desakan atau kecelaruan? Artikel ini telah diterbitkan oleh Majalah Dakwah, Mac/April 2017, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Putrajaya. Hal 56-58. Oleh: Khairul Hamimah Mohd Jodi & Faridah Che Hussain Akhir-akhir kini semakin kerap terpampang laporan di dada akhbar semasa mengenai kejadian individu membunuh diri. Antara kejadian terkini ialah pada Oktober 2016 seorang lelaki dipercayai membunuh dirinya kerana bakal dikenakan penjara akibat menjual rokok seludup. Jika kita lihat lima tahun kebelakangan ini, setiap tahun akan terdapat paparan kes bunuh diri yang melibatkan pelajar, suri rumah, suami, isteri, lelaki, wanita, ahli perniagaan, penganggur, balu dan sebagainya sehingga terdapat ibu atau bapa yang melibatkan anaknya utuk membunuh diri. Kejadian membunuh diri ini dilakukan oleh pelbagai individu tanpa mengira usia, status pekerjaan, bangsa, jantina dan agama. Malaysia yang kini melalui arus permodenan dan masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum, terdedah kepada stress yang tinggi dan tidak juga terlepas daripada mengalami senario tingkah laku bunuh diri. Pada tahun 2007 sahaja seramai 731 individu dilaporkan telah membunuh diri yang dilaporkan di Kementerian Kesihatan. Pada tahun 2013 pula, 178 kes kejadian bunuh diri atau cubaan untuk membunuh diri yang dicatatkan manakala 191 kes dicatatkan pada tahun 2014. Seterusnya sehingga Oktober 2015, sebanyak 130 kes bunuh diri direkodkan di mana 84 kes membabitkan lelaki dan 46 adalah wanita, 34 daripadanya ialah daripada bangsa Melayu, 42 kaum India, 47 dari kaum Cina dan selebihnya (tujuh) adalah terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. National Suicide Registry Malaysia melaporkan kadar bunuh diri ialah 1.3 setiap 100,000 dengan jumlah kes sebanyak 1100 kes dalam masa 3 tahun (2008-2010). Angka ini hanya berdasarkan kepada kes bedah siasat sahaja. Statistik daripada Pusat Informatik Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tempoh lima tahun (2010-2014) menunjukkan jumlah kematian bagi lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita manakala kumpulan umur tertinggi adalah antara 25-44 tahun. Data yang lebih tepat tidak dapat