Amali 4: Tindak Balas Redoks Nama : No. Kad Pengenalan : No. Angka Giliran : ______________________________________________________________ Tujuan : Menyiasat pengoksidaan dan penurunan dalam pemindahan elektron pada suatu jarak. Teori : Tindak balas redoks ialah suatu tindak balas kimia yang melibatkan proses pengoksidaan dan penurunan yang berlaku secara serentak. Dalam konteks tindak balas redoks dalam pemindahan elektron pada suatu jarak, pengoksidaan dan penurunan dapat berlaku dalam keadaan tanpa melibatkan oksigen dan hidrogen. Hal ini demikian kerana pengoksidaan dan penurunan dapat berlaku apabila terdapat pemindahan elektron antara bahan tindak balas. Proses pengoksidaan ialah tindak balas yang berlaku apabila suatu bahan tindak balas yang mengalami kehilangan elektron. Penurunan pula merupakan tindak balas yang berlaku apabila sesuatu bahan tindak balas mengalami penerimaan elektron. Tindak balas redoks berlaku apabila satu larutan agen pengoksidaan bercampur dengan satu larutan agen penurunan. Jika agen pengoksidaan dan larutan agen penurunan dipisahkan oleh suatu elektrolit dalam satu tiub- U, tindak balas masih akan berlaku kerana pemindahan elektron akan berlaku melalui wayar penyambung. Agen penurunan akan mengalami pengoksidaan dengan membebaskan elektron. Maka elektrod karbon yang direndam dalam larutan agen penurunan akan menjadi terminal negatif sel. Elektron itu mengalir melalui wayar penyambung ke elektrod karbon yang terendam dalam larutan agen pengoksidaan. Maka elektrod karbon ini akan bertindak sebagai terminal positif sel. Agen pengoksidaan mengalami penurunan dengan menerima elektron. Asid sulfurik biasanya digunakan sebagai titian garam dengan berfungsi untuk memisahkan antara agen pengoksidaan dengan agen penurunan.