Prosiding Seminar Pertama Pendidikan Islam (SePPIM`13) Penguasaan dan Kesalahan Bacaan dalam Surah Al-Fatihah di kalangan Pelajar DKA 1A Sesi Dis 2012 : Satu Kajian Tindakan Mohd Faizal Mat Pesa Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Khadijah Abdul Razak Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Mohamad Faizal Ahmat Politeknik Merlimau, Melaka ABSTRAK Kajian ini adalah untuk mengetahui tahap penguasaan pelajar terhadap bacaan surah al- Fatihah. Ia merupakan salah satu sukatan di dalam bab 4: Ibadah-ibadah Khusus, Kursus Pendidikan Islam (AA101) yang di ajar di politeknik-politeknik Malaysia. Seramai 16 orang pelajar semester 1, Politeknik Merlimau, Melaka dari Jabatan Kejuruteraan Awam dijadikan responden melalui kaedah rawak berkelompok. Objektif kajian ialah untuk mengetahui penguasaan pelajar terhadap surah al-Fatihah dari segi makhraj huruf (keluar sebutan huruf), hukum tajwid, baris dan tanda bacaan. Kaedah penyelidikan yang digunakan adalah penyelidikan di perpustakaan, soalselidik dan temubual (mendengar bacaan pelajar) digunakan sebagai instrumen utama untuk mengukur persoalan kajian. Dapatan kajian diperolehi melalui dua jenis ujian iaitu ujian pra bacaan dan ujian pos bacaan. Hasil kajian mendapati penguasaan bacaan surah al-Fatihah ke atas responden, pada tahap sederhana kerana responden tidak dapat menguasai ilmu tajwid dengan sempurna.