Jurnal Pengurusan 32(2011) 39 - 53 Undang-undang Kontrak Malaysia: Keterbatasan Pemakaian dalam Kontrak Pengguna (The Malaysian Contract Law: Limitations in Application to Consumer Contracts) Suzanna Mohamed Isa Azimon Abdul Aziz Sakina Shaik Ahmad Yusoff ABSTRAK Kepesatan perkembangan ekonomi global telah membawa faedah kepada pengguna dengan keterbukaan pasaran barangan dan perkhidmatan lantas memperkasakan hak pengguna untuk membuat pilihan berasaskan keperluan dan kuasa membeli. Walaupun fenomena ini dilihat masih seiringan dengan pendapat Adam Smith bahawa kepenggunaan adalah satu-satunya matlamat dan tujuan semua pengeluaran, namun senario ini secara tidak disedari turut menimbulkan ketidakpastian tentang tahap pelindungan terhadap pengguna dalam hubungan kontraktual yang mereka lakukan. Dengan demikian, sewajarnyalah kerangka perundangan kepenggunaan bergerak sederap dengan perkembangan semasa. Di Malaysia, hubungan kontraktual dikawal selia oleh satu statut pemakaian am iaitu Akta Kontrak 1950. Penulisan ini akan mengupas tahap pelindungan yang diberikan oleh Akta ini dalam konteks kepenggunaan dengan menganalisis secara kritis kedudukan pengguna dalam kontrak bentuk seragam dan di bawah doktrin priviti dengan merujuk kepada sumber primer dan sekunder perundangan. Di akhir analisis, cadangan turut dikemukakan bagi mengatasi kelemahan Akta ini yang telah dikenal pasti. ABSTRACT The rapid expansion of the global economy has brought benefit to consumers with the extension of market for goods and services which in turn empowers consumers’ right of choice based upon needs and purchasing power. Even though this phenomenon appears to be in alignment with Adam Smith’s contention that the sole end and purpose of all production is consumption, this scenario may have unwittingly created uncertainty in the level of consumer protection in their contractual undertakings. In Malaysia, contractual relations are governed by a statute of general application, the Contracts Act 1950. This writing will delve into the level of protection afforded by this Act in the context of consumerism by critically analysing the position of a consumer in a standard form contract and under the doctrine of privity by referring to primary and secondary legal sources. At the end of the analysis, some suggestions are made to help solve the identified drawbacks of the statute. PENGENALAN Kontrak pengguna mengilustrasikan sejenis kontrak yang unik. Keunikan ini wujud disebabkan ketidakseimbangan kuasa yang kedapatan antara kedua-dua pihak yang berkontrak, pengguna dan peniaga, dalam aspek kuasa berunding, maklumat dan ketidakseimbangan dari segi sumber. Ketidakseimbangan ini menjustifikasikan satu layanan yang berbeza terhadap kontrak peniaga-pengguna (B2C) berbanding kontrak peniaga-peniaga (B2B). Namun realitinya, undang-undang kontrak sedia ada yang terdapat di Malaysia khususnya dalam Akta Kontrak 1950 memperlihatkan keterbatasannya dalam konteks urusan kontrak pengguna. Keadaan ini bertambah akut dengan kemunculan pelbagai metode berkontrak yang terkesan dengan tersebar luasnya penggunaan teknologi dalam urusan kontrak masa kini. Mengguna pakai metode analisis kandungan yang berteraskan sepenuhnya pada ulasan kepustakaan, rencana ini bertujuan melihat kepada keterbatasan undang-undang kontrak tempatan dalam konteks kontrak pengguna khususnya dalam dua urusan penting iaitu: (1) pemakaian kontrak bentuk seragam; dan (2) hak pihak ketiga dalam urusan kontrak. UNDANG-UNDANG KONTRAK DALAM KONTEKS KEPENGGUNAAN Setiap kelompok masyarakat berkehendakkan kepada suatu ‘instrumen’ melalui mana pertukaran yang telah dirancang boleh dibuat dan dimartabatkan. Justeru itu undang-undang kontrak berperanan mengekalkan persetujuan yang telah dicapai demi keutuhan kontrak tersebut. Undang-undang kontrak bukan sekadar mengawal sahaja tetapi juga memudahkan pertukaran ekonomi. Apabila pertukaran berlaku dalam bentuk jual beli barang atau perkhidmatan, undang-undang kontrak menyediakan garis panduan bagi membolehkan pertukaran ini mengambil tempat dengan bermatlamatkan peningkatan kekayaan negara (Quah & Neilson 1993) dan kemanfaatan dikecapi oleh setiap pihak kepada kontrak. Undang-