IDEA-IDEA PERINTIS KE ARAH PEMBENTUKAN TEORI NEGARA KEBAJIKAN 1 MUHAMMAD ARIFF ASRYUL BIN ADNAN Universiti Teknologi MARA Pahang ABSTRAK Artikel ini membincangkan berkenaan idea-idea perintis yang menyumbang ke arah pembentukan teori negara kebajikan moden yang wujud dalam wacana ekonomi politik masani. Perihal kebajikan telah diwacanakan sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua dan lewat 1980-an, terma ini semakin dilihat menyumbang ke arah wacana relevansi negara kebajikan khususnya dalam masyarakat industri dan pasca industri. Pembinaan teori negara kebajikan dilihat berasas kepada tiga idea perintis utama yang dikemukakan oleh Karl Polanyi (1886-1964), T.H. Marshall (1893-1981) dan Alva Myrdal (1906-1982). Ketiga-tiga sarjana ini mengetengahkan nuansa perbincangan yang dikatakan menjadi asas kepada pembentukan teori negara kebajikan merangkumi aspek perlindungan diri, perlindungan pekerja, pasaran regulasi kendiri (self regulating market), hak kewarganegaraan dan gender. Walaupun dalam wacana teori negara kebajikan moden tidak begitu merujuk perbincangan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga sarjana, namun aspek-aspek berikut masih menjadi paksi dalam asas wacana teori negara kebajikan pasca Perang Dunia Kedua. Ketiga-tiga idea perintis ini juga menyumbang kepada pembentukan pembahagian model negara kebajikan mengikut tiga aliran utama iaitu negara kebajikan konservatif yang bersifat statisme, negara kebajikan liberal yang membincangkan tentang individualisme dan kolektivisme dan negara kebajikan sosial demokrat yang cenderung focus kepada intipati kepentingan hak sosial dalam masyarakat politik. Justeru, artikel ini menyimpulkan bahawa idea-idea ini merupakan paksi awal kepada permulaan pembentukan teori negara kebajikan moden di samping melihat kepada keperluan negara (state) sebagai antara aktor utama dalam pembangunan teori negara kebajikan. Kata Kunci: negara kebajikan, idea-idea perintis, negara. Pengenalan Negara kebajikan bukanlah suatu konsep asing pada masa kini memandangkan ianya telah lama wujud sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua iaitu sekitar tahun 1946. Negara-negara Barat seperti Britain merupakan antara negara awal yang mengadaptasikan konsep kebajikan sebagai agenda utama dalam pengurusan masyarakat khususnya bagi masyarakat kapitalis industri ketika itu. Frasa negara kebajikan (welfare state) mula digunakan dan diterima pakai sekitar tahun 1945 bagi mengenal pasti “Labour Britain” pada ketika itu oleh masyarakat di Britain. Bermula daripada sinilah frasa ini kemudiannya berkembang ke seluruh dunia dan digunakan secara inklusif oleh ahli politik dan wartawan dalam membentuk korelasi untuk mempelbagaikan lagi kaedah atau mekanisme bagi memelihara hubungan negara dengan rakyat (Briggs 2011:9-10). Perkara ini turut dibuktikan oleh Gregg (1967) di dalam karyanya iaitu The Welfare State: An Economic and Social History of Great Britain from 1945 to the Present Day dengan menyatakan seperti berikut: “By the middle of the twentieth century the 1 Kertas Kerja yang dibentangkan di Seminar falsafah Sains Sosial II pada 11 & 12 Februari 2017 di Institut Penyelidikan Anwar Ibrahim yang dianjurkan oleh Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), Institut Penyelidikan Anwar Ibrahim dan FuFu Terbit.