Wan Hussain Wan Ishak, Fadzilah Siraj, Abu Talib Othman (2001). Implementasi Kepintaran Buatan dalam Perubatan. Persidangan Kebangsaan Penyelidikan & Pembangunan IPTA (25-26 Oct. 2001). Universiti Kebangsaan Malaysia (Poster presentation) IMPLEMENTASI KEPINTARAN BUATAN DALAM PERUBATAN Wan Hussain Wan Ishak 1 , Fadzilah Siraj 2 , Abu Talib Othman 3 School of Information Technology, Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah, MALAYSIA Email: { 1 hussain; 2 fad173; 3 abutalib}@uum.edu.my Abstrak Perubatan merupakan bidang penting bagi mengimbangi taraf kesihatan masyarakat dengan pembangunan negara. Ini kerana masyarakat yang sihat dan aktif merupakan tunggak utama dalam pembangunan negara. Pembangunan dan penyelidikan di samping, penghasilan tenaga pakar dalam bidang perubatan merupakan program berterusan yang perlu dilaksanakan bagi menghasilkan teknologi perubatan yang terkini dan pakar perubatan yang berpengalaman serta berkaliber. Salah satu teknologi yang sering mendapat perhatian para penyelidik dalam penyelidikan dan pembangunan sistem perubatan ialah Kepintaran Buatan. Kepintaran buatan (Artificial Intelligence) atau ringkasnya AI merupakan salah satu cabang komputer sains yang mengsimulasikan kaedah atau cara manusia berfikir dan bekerja. Teknik- teknik kepintaran buatan seperti rangkaian neural, logik kabur, sistem pakar merupakan antara teknik yang sering digunakan dalam aplikasi perubatan. Kertas kerja ini membincangkan penggunaan Rangkaian Neural; kepentingan dan potensinya dalam penyelidikan dan pembangunan aplikasi perubatan. Selain itu, keperluan dan peranan pakar perubatan dalam penyelidikan dan pembangunan sistem perubatan pintar juga dibincangkan. 1.0 PENGENALAN Perubatan merupakan salah satu bidang penting dalam pembangunan negara. Ini kerana masyarakat yang berkualiti bukan sahaja dipengaruhi oleh pendidikan, tetapi juga mutu atau taraf kesihatan masyarakat tersebut. Walaubagaimanapun, bagi mencapai mutu atau taraf kesihatan yang baik adalah sukar jika sumber-sumber yang ada (tenaga pakar, ubatan dan sebagainya) tidak mencukupi dan tidak seimbang dengan pertambahan penduduk di negara ini. Perkembangan penciptaan dan penghasilan teknologi terkini banyak membantu meningkatkan pembangunan aplikasi perubatan dan aplikasi-aplikasi lain yang berkaitan. Teknologi komputer samada dari segi perisian dan perkakasan komputer menyumbang kepada pembangunan aplikasi perubatan dan memudahkan komunikasi serta perkongsian maklumat. Walaubagaimanapun, teknologi komputer sahaja tidak mencukupi. Sebaliknya, ia perlu disokong oleh teknologi-teknologi lain bagi memantapkan aplikasi perubatan serta membantu doktor merawat pesakit. Teknologi kepintaran buatan (AI) merupakan satu alternatif berkesan bagi meningkatkan perkhidmatan perubatan. AI cuba merealisasikan penggunaan mesin dalam aktiviti-aktiviti yang sebelum ini dilakukan oleh manusia. Ia merupakan bidang penyelidikan bagi membolehkan komputer melakukan sesuatu yang sebelum ini dapat dilakukan dengan baik oleh manusia. Kepintaran buatan berkait rapat dengan kebolehan komputer belajar, memahami, membuat kata putus dan