KONSEP KARMA DAN REINKARNASI MENGIKUT PEMAHAMAN BEBERAPA AGAMA DI DUNIA OLEH: WAN AHMAD FUAD BIN WAN AHMAD KAMIL Dalam salah satu episod manga dan anime Dragon Ball, berlaku pertempuran antara Son Goku dan Majin Buu. Sebelum berakhirnya pertempuran antara keduanya, Son Goku dilihat berkata kepada Majin Buu, “Kita bertarung lagi dalam kehidupan akan datang”, secara ringkasnya jika difahami apa yang disebutkan oleh Son Goku ini adalah berkenaan reinkarnasi. Reinkarnasi dan karma merupakan dua perkara yang diketahui dan dipercayai oleh ramai orang di dunia ini, dan ia juga disebut di dalam kepercayaan beberapa agama di dunia. Reinkarnasi dalam Bahasa Inggeris juga disebut sebagai ‘reincarnation’ atau secara ringkasnya boleh ditafsirkan sebagai ‘kelahiran semula’. Mengikut Kamus Dewan, perkataan reinkarnasi bermaksud ‘penjelmaan kembali makhluk yg telah mati (mengikut sesetengah kepercayaan)’. Karma pula secara ringkasnya adalah kepercayaan bahawa ‘setiap makhluk akan mendapat balasan mengikut apa yang dilakukan sewaktu hidup’. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, karma adalah ‘semua perbuatan manusia sewaktu hidupnya di dunia’. Mengikut Oxford Dictionary, karma bermaksud “the sum of a person's actions in this and previous states of existence, viewed as deciding their fate in future existences”. Secara ringkasnya, kepercayaan terhadap reinkarnasi dan karma terdapat dalam ajaran banyak agama, contohnya Zoroastrianisme 1 , Judaisme, Buddhisme, Sikhsme, Jainisme, Christianisme dan Islam, namun konsep kepercayaan antara setiap satunya adalah berbeza antara satu sama lain. Penganut ajaran Zoroastrianisme percaya apabila seseorang itu sudah mati, roh si mati akan kekal di sisi mayat selama tiga hari dan tiga malam. Dalam tempoh ini, semua tindakan dan kesalahan yang dilakukan sewaktu masih hidup akan ditayangkan kepada roh si mati sebagai satu bentuk perbicaraan. Jika didapati si mati berat ke arah maksiat, maka roh tersebut akan dihumban ke neraka. Namun akhirnya, si mati akan dibangkitkan kembali selepas selesai menjalani hukuman. 1 Zoroastrianisme : agama yang percaya kepada Tuhan Ahura Mazda, disebarkan oleh Zoroaster atau Zarathustra. Kepercayaan mereka berkait dengan api sebagai simbol kebijaksaan dan wahyu Tuhan.