Bahaya Fitnah kepada Umat Islam Amran bin Mat Arriffen Maimun Aqsha Lubis bin Abdin Lubis Abstrak Kajian ini bertujuan untuk membincangkan tentang perbuatan fitnah yang disebut dalam al-Quran dan bahaya yang menimpa manusia akibat daripadanya. Selain daripada itu, kajian ini juga bertujuan membincangkan tentang fitnah yang berlaku dalam masyarkat Melayu masa kini. Bagi mencapai matlamat kajian ini, kaedah keperpustakaan digunakan iaitu dengan merujuk kepada sumber-sumber ilmiah seperti buku, jurnal, artikel, kertas kerja prosiding dan seminar serta sumber-sumber lain yang berkaitan dengan tajuk kajian. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa perbuatan fitnah telah bermula sejak awal penciptaan manusia, di mana sifat hasad dengki dan meninggi diri membawa kepada lahirnya fitnah. Kajian juga mendapati para rasul yang dilantik untuk membawa risalah Allah akan berhadapan dengan pelbagai ujian dan mereka sabar dalam menghadapinya. Seseorang individu akan berhadapan dengan penyakit dan tekanan jiwa apabila berhadapan dengan fitnah. Manakala sesebuah keluarga akan porak peranda dan masyarakat akan rosak binasa sekiranya fitnah berleluasa dan tidak ditangani dengan hikmah. Oleh itu, masyarakat Melayu Islam perlu mengamalkan konsep ‘tabayyun’ dan berhati-hati dengan sebarang bentuk khabar angin yang disebarkan melalui kecanggihan teknologi masa kini. Kata Kunci: Bahaya, Fitnah Pengenalan Fitnah merupakan perkataan bahasa Arab yang mempunyai pelbagai maksud. Menurut Abu Hasan al-Jurjani (1938) fitnah iaitu sesuatu yang menjelaskan tentang keadaan seseorang sama ada baik atau buruk sebagai contoh aku membakar emas dengan api untuk mengetahui sama ada ianya emas tulin atau palsu. Manakala Ibn Manzur (t.t) memberi erti fitnah sebagai ujian dan cubaan sebagai contoh aku membakar emas dan perak untuk mengasingkan antara yang tulin dan yang palsu. Menurut Kamus al-Munjid (2008) pula terdapat beberapa maksud fitnah antaranya ialah sangat mengkagumkan, ujian, cubaan dan pemberontakan. Namun, Kamus Dewan (2010) mendefinisi fitnah