DEFINISI Istilah 'mat rempit' adalah hasil gabungan dua perkataan 'mat' dan 'rempit' dimana 'mat' adalah merujuk kepada seseorang atau sekompok individu, sementara 'rempit' difahami sebagai kegiatan membonceng motosikal dengan laju dan tidak mengikut undang-undang jalan raya. Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan moto kapcai atau skuter. Ia merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang. Kebanyakan Mat Rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya di jalan raya. Mat Rempit biasanya berkumpulan dan akan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Mat Rempit juga telah dikaitkan dengan kegiatan gengster, rompak berkumpulan, pergaduhan, laku musnah, kecurian dan buli. Kebanyakan motosikal yang digunakan Mat Rempit tidak memenuhi piawai, ataupun telah diubah suai dengan banyak. Malah ada juga Mat Rempit yang tidak mempunyai lesen sah, membayar cukai jalan dan menaiki motosikal curi. Kini, taman perumahan turut telah ditukar menjadi litar lumba oleh Mat Rempit. Dianggarkan di Malaysia sahaja terdapat kira-kira 200,000 Mat Rempit. Istilah Mat Rempit ini turut digunakan di Singapura dan Indonesia untuk tujuan yang sama.