Persidangan Nasional Sejarah Melayu Kepulauan Melayu 11 & 12 Oktober 2016 212 Tinggalan Warisan Di Sepanjang Jalan Keretapi Tapah Road Teluk Intan: Kajian Awalan Dan Potensi Pemeliharaan Johan Afendi Ibrahim, Norhanim Abdul Razak & Mohamad Zaki Ahmad afendi@uum.edu.my / norhanim@uum.edu.my / zaki.ahmad@uum.edu.my Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, 06010, Sintok, Kedah ____________________________________________________________________ Abstrak Pengangkutan keretapi di Tanah Melayu bermula pada tahun 1869 yang menghubungkan Johor Bahru Gunung Pulai. Cetusan idea pembinaan jalan keretapi adalah untuk memenuhi permintaan pengembara Eropah berehat di kawasan bersuhu sejuk selain membuka tanah-tanah baharu untuk pertanian. Walaupun begitu, projek pembinaan ini telah menemui kegagalan (M.A Fauzi Basri, 1985). Perkembangan pembinaan jalan keretapi di Tanah Melayu semakin berkembang dengan penemuan bijih timah yang merupakan komoditi berharga ketika itu. Bagi menampung permintaan ini, perkhidmatan keretapi Taiping Port Weld (kini dikenali sebagai Kuala Sepetang) diperkenalkan pada tahun 1885.Jalan keretapi Tapah Road Teluk Anson (kini dikenali sebagai Teluk Intan) beroperasi pada tahun 1893 berperanan mengangkut bijih timah dari Lembah Kinta ke pelabuhan Teluk Intan yang terletak di Jalan Denison (kini dikenali sebagai Jalan Wah Keng Jooi). Akibat hakisan tebing sungai yang serius, pihak British telah membina pelabuhan baharu yang terletak di selatan Teluk Intan pada tahun 1909. Kesan pembinaan jalan keretapi ini telah menjadikan Teluk Intan sebagai bandar terpenting di Negeri Perak sehingga kini.Perkhidmatan keretapi Tapah Road Teluk Intan telah beroperasi sepanjang 96 tahun (1893 1989). Perkhidmatannya diberhentikan disebabkan kekurangan penumpang, perkembangan jaringan jalan raya, kemerosotan pelabuhan Teluk Intan disamping pembinaan jalan keretapi yang menghubungkan Padang Besar Johor Bahru. Kertas kerja ini akan membincangkan sumbangan pembinaan jalan keretapi Tapah Road Teluk Intan terhadap perkembangan bandar Teluk Intan sehingga kini. Selain itu, mengenalpasti lokasi-lokasi warisan yang berpotensi untuk pemeliharaan disamping menjadikannya sebagai salah satu produk pelancongan warisan menarik di Negeri Perak. Kata kunci: Teluk Intan, warisan, keretapi. ____________________________________________________________________ 18