119 TASIK PEDU TINGGAL KENANGAN Johan Afendi Ibrahim, Norhanim Abdul Razak & Mohamad Zaki Ahmad Program Pengurusan Pelancongan, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, 06010, Sintok, Kedah. 04-9288182 / 8184 / 8187 afendi@uum.edu.my / norhanim@uum.edu.my / zaki.ahmad@uum.edu.my Abstrak Kehebatan pelancongan terletak kepada kemampuannya dalam menjana pendapatan dan merubah landskap sesuatu kawasan. Impak positif yang disumbangkan mendorong ramai pihak berkepentingan (stakeholder) berminat menceburkan diri secara langsung dan tidak langsung dalam industri ini. Bagi memastikan pelancongan memberikan manfaat kepada semua, perancangan sesebuah kawasan perlu dilakukan secara berhati-hati dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan penawaran dan permintaan pelancongan. Kegagalan merancang dengan teliti mengakibatkan pengusaha pelancongan mengalami kerugian dalam pelaburan, pembaziran dalam penggunaan sumberjaya, kerosakan terhadap alam sekitar dan sosial yang akhirnya menyumbang kepada kemerosotan destinasi pada masa depan. Empangan Pedu dibina pada tahun 1960an dan siap sepenuhnya pada tahun 1969. Pembinaannya bertujuan untuk menyediakan bekalan air untuk pengairan kawasan sawah padi di Negeri Kedah disamping membekalkan air mentah untuk kegunaan domestik. Kesan pembinaannya telah mewujudkan sebuah tasik buatan manusia berkeluasan 52 kilometer persegi yang terletak di Daerah Padang Terap. Perkembangan pesat pelancongan di Langkawi sejak tahun 1987 telah mendorong kerajaan negeri membangunkan beberapa kawasan sebagai destinasi pelancongan. Kerajaan Negeri Kedah merasakan pelancongan berupaya memacu perkembangan ekonomi negeri, menyumbang pendapatan kepada negeri dan penduduk, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan menyeimbangkan pembangunan fizikal antara Langkawi dan tanah besar Kedah. Pembangunan pelancongan di Tasik Pedu bermula pada awal 1990an dan dibuka secara rasmi kepada pelancong pada tahun 1995. Beberapa pusat peranginan bertaraf antarabangsa dibina untuk menarik kedatangan pelancong ke sini. Walau bagaimanapun, pembangunan pelancongan di Tasik Pedu tidak kekal lama dan kedatangan pelancong mula merosot pada awal tahun 2000an. Pengusaha pusat peranginan mula menanggung kerugian dan bertindak memberhentikan operasi perniagaan secara beransur- ansur dari tahun 2005. Akhirnya pelancongan di Tasik Pedu terus merosot dan berkubur sepenuhnya pada tahun 2010. Jangka hayat pelancongan di Tasik Pedu mampu bertahan selama 15 tahun sahaja. Kertas kerja ini membincangkan latar belakang destinasi, dasar dan projek yang dilaksanakan kerajaan, ciri-ciri pelancong, aktiviti pelancong, kemudahan dan perkhidmatan pelancong yang ditawarkan dan evolusi perkembangan destinasi. Selain itu, perbincangan juga menyentuh isu-isu yang menyumbang kepada kemerosotan destinasi. Katakunci : Tasik Pedu, Kedah, pelancongan.