Prosiding Seminar Kebangsaan Sosioekonomi dan IT Ke – 3 (2005) 1 KESAN PEMBANGUNAN PELANCONGAN TAMAN NEGERI PERLIS TERHADAP SOSIOEKONOMI PENDUDUK TEMPATAN, KAJIAN KES : MUKIM TITI TINGGI, PERLIS JOHAN AFENDI IBRAHIM 1.0 Pengenalan Pada masa kini, pelancongan merupakan sektor yang berkembang dengan maju di dunia termasuk di Malaysia. Ia boleh dilihat dengan tren kedatangan pelancong ke Malaysia yang meningkat daripada 10,221,582 orang (2000) kepada 15,703,406 orang (2004) (Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia, 2005). Ekoran daripada perkembangan tersebut, pihak kerajaan telah melancarkan beberapa program / acara dan strategi pembangunan yang bersesuaian bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong. Selain itu, banyak destinasi-destinasi pelancongan telah dibangunkan bagi menampung peningkatan kedatangan pelancong. Perkembangan sektor ini telah menyumbangkan banyak impak positif dan negatif terhadap ekonomi, alam sekitar dan sosial destinasi tersebut. Perkembangan sesebuah destinasi pelancongan memberikan kesan positif dan negatif terhadap sosioekonomi penduduk tempatan. Kesan- kesan positif sosioekonomi adalah manfaat ekonomi, pemeliharaan warisan budaya, membangkitkan perasaan bangga penduduk terhadap kebudayaan dan warisan bangsa serta mewujudkan pertukaran budaya antara pelancong dan penduduk. Kesan-kesan negatif adalah kehilangan manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan, impak budaya dan sosial, kesesakan dan kehilangan ‘privacy’ kepada penduduk tempatan (Inskeep, 1991). 1.1 Pernyataan Masalah Penubuhan Taman Negeri Perlis bertujuan bagi pemeliharaan biodiversiti flora dan fauna yang terdapat di sepanjang Banjaran Nakawan yang menjadi sempadan Malaysia – Thailand. Selain itu, ia menggalakkan aktiviti-aktiviti pembelajaran, penyelidikan saintifik dan rekreasi yang menyeronokkan (enjoyment) dalam menghayati alam sekitar. Ekoran daripada penubuhannya, pihak kerajaan negeri telah mencadangkannya sebagai satu produk pelancongan baru yang mampu menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke Negeri Perlis (WWF Malaysia, 2001).