International Conference on Global Eduation V “Global Education, CommonWealth and Cultural Diversity” Universitas Ekasakti , Padang, 10-11 April 2017 PENGGUNAAN BEG KERTAS MENGGANTIKAN BEG PLASTIK DI KAMPUS UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA Ahmad Sarji bin Abdul Hamed Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Email: sarji_hamed@yahoo.com.my Abstrak Kertas ini membincangkan tentang cadangan menukarkan penggunaan beg plastik kepada beg kertas dalam kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Penggunaan plastik merupakan satu amalan yang tidak sihat kerana penggunaan bahan tersebut akan menjadi punca kepada banyak masalah alam sekitar dan kemerosotan keharmonian hidup manusia. Kertas ini mengupas tentang keburukan penggunaan plastik dalam masa singkat dan jangka masa panjang. Selain itu, persoalan terhadap kewajaran ideologi penggunaan beg kertas berbanding beg plastik juga dinyatakan dalam kertas konsep ini. Kesedaran tentang bahaya penggunaan plastik perlu dipupuk dalam diri generasi muda kini melalui pendidikan secara formal (dalam kelas) tidak formal (praktikal) kerana pengetahuan dan amalan yang terbilang akan membawa kepada keberkesanan sesebuah pendidikan. Justeru itu, larangan penggunaan beg plastik dalam kampus UKM akan mendidik warga kampus untuk lebih peka tentang isu alam sekitar di sekeliling kawasan pengajian seterusnya menimbulkan rasa tanggungjawab terhadap kelestarian alam sejagat. Kata kunci: Penggunaan beg kertas, penggunaan beg plastik, kampus Universiti Kebangsaan Malaysia.