Antara orang berpendidikan dengan tidak berpendidikan Pada sidang akhbar dalam bulan Mei 2018, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu mengambil portfolio Kabinet kedua sebagai Menteri Pendidikan kerana beliau berpendapat bahawa terdapat "begitu ramai orang tidak berpendidikan atau terpelajar (uneducated) di negara ini." Sehari kemudian, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju bahawa beliau tidak boleh menjadi Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan pada masa yang sama kerana ia akan bertembung dengan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH). Bagi pendidik dan guru terutamanya di Kementerian Pendidikan, tentunya ia merupakan satu berita yang menggemparkan seperti ‘gegaran di skala Richter' kerana semua orang tahu apa yang akan dilakukan oleh PM yang bijak ini jika beliau menjadi Menteri Pendidikan. Antara yang lain yang disebutkan adalah membaikpulih kaedah pengajaran yang sudah ketinggalan zaman. Mungkin juga ada yang akan bertanya samada beliau merujuk kepada pegawai kementerian atau pendidik di sekolah untuk istilah ‘uneducated’. Tentunya semua orang tahu, hampir semua pegawai di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi serta institusi pendidikan adalah pemegang ijazah dan ijazah lanjutan yang menjadikan mereka 'berpendidikan'. Saya akan mengatakan bahawa 'orang berpendidikan' adalah orang yang telah belajar bagaimana untuk mendapatkan apa yang dia mahu tanpa melanggar hak orang lain melalui cara pemikiran alternatif yang betul iaitu pendidikan.