Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional di Malaysia Mohd Fathi Bin Adnan, Rohana Bt. Hamzah, Amirmudin Bin Udin ABSTRAK Kertas ini ditulis untuk memberi penerangan kepada umum tentang implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) terhadap sistem Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) di Malaysia. Terdapat beberapa perkara yang dibincangkan dalam kertas ini, antaranya definisi FPK dan PTV, matlamat pendidikan di Malaysia, aliran falsafah yang mempengaruhi PTV, konsep dan matlamat FPK, peranan FPK, elemen-elemen yang terkandung dalam FPK, peranan sekolah dalam merealisasikan FPK dan implikasi FPK dalam sistem PTV. Adalah diharapkan melalui penerangan ini, semua pendidik serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau pun tidak langsung dapat memahami dengan jelas tentang matlamat pendidikan di Malaysia. Semua pihak juga perlu memahami kehendak FPK dan implikasinya terhadap pendidikan umumnya dan terhadap PTV khususnya. Semoga dengan penerangan ini, sistem PTV di Malaysia akan dapat mencapai hasrat dan matlamat negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Pengenalan Pendidikan di Malaysia berkembang dengan pesat sekali. Panduan utama pendidikan di Malaysia ialah berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPK digubal untuk memberi panduan atau arah tuju untuk menentukan haluan, asas dan inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan. Sebagai negara yang sedang membangun, aspek utama yang ditekankan oleh kerajaan ialah pembangunan modal insan. Pembangunan modal insan yang seimbang akan menjamin pembangunan sesebuah negara. Dalam hal ini pendidikan memainkan peranan yang amat penting bagi merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Penekanan yang diberikan untuk menjana pembangunan modal insan yang seimbang ialah dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek sepertimana yang terkandung dalam FPK. Salah satu cabang dalam pendidikan yang sangat penting dalam melahirkan modal insan yang seimbang ialah bidang Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV). PTV dianggap sangat penting kerana melalui PTV negara dapat melahirkan tenaga kerja yang mahir, separa mahir dan professional. Tenaga kerja yang lahir daripada bidang PTV dapat membangunkan