PELANCONGAN REKREASI BERASASKAN CABARAN DAN BIODIVERSITI: ISU DAN KONFLIK Jaffry Zakaria Fakulti Sains Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim, Perak Malaysia jaffry@upsi.edu.my Nor Azlina Hasbullah Institut Sains Biologi Universiti Malaya, 50603 Lembah Pantai, Kuala Lumpur Malaysia azahhas@um.edu.my Abstrak Dalam proses pembangunan dan globalisasi, pelancongan rekreasi berasaskan cabaran sememangnya merupakan suatu frasa penarik yang perlu dihadapi dan diuruskan dengan bijak agar tidak menjejaskan sumber biodiversiti. Ini kerana banyak aktiviti yang tidak diingini masa lalu telah menyebabkan terjejasnya biodiversiti dan sekaligus meranapkan harapan generasi akan datang untuk menghargainya. Menurut Newsome, Moore & Dowling (2004), impak alam sekitar disebabkan oleh pelancongan dikawasan yang dilindungi mencakupi aktiviti rekreasi yang tidak terancang, kesesakan pengunjung, pembangunan yang tidak seimbang, pencemaran, gangguan hidupan liar dan penggunaan kenderaan. Kedua-dua elemen ini tidak dapat dipisahkan kerana masing-masing mempunyai saling perkaitan antara satu dengan yang lain dimana ia digembleng sebagai medium untuk menawarkan pelbagai peluang untuk manusia menghargai khazanah dan warisan alam yang tidak ternilai harganya. Namun kerakusan manusia meneroka dan memanipulasinya atas nama pelancongan secara tidak langsung menggugat keharmonian dan ketenangan komuniti alam. Berdasarkan kepada isu ini, penulis akan cuba mengupas dan membincangkan isu-isu dan cabaran didalam hubungan aktiviti pelancongan rekreasi berasakan cabaran terhadap biodiversiti.