International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society ISLAC2013 88 TEKNIK ROLE PLAY DALAM KAEDAH PENGAJARAN KOMUNIKASI BAHASA ARAB DI UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN Noor Anida Awang, Normila Noruddin, Nik Murshidah Nik Din, Mohd Taufiq Abdul Talib, Zaiton Mustafa, Rahimah Embong Pusat Pengajian Tamadun Arab & Pendidikan Islam, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu, Malaysia Nik Muniyati Nik Din Akademi Pengajian Islam, Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang (UiTM Kampus Permatang Pauh), Pulau Pinang, Malaysia ABSTRAK Kajian ini membincangkan tentang aplikasi teknik Role Play dalam kaedah pengajaran komunikasi bahasa Arab (BA) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu, Malaysia. Role play merupakan satu teknik dalam kaedah pengajaran yang berpusatkan pelajar atau gaya pengajaran secara interaktif sebagai satu aktiviti dalam bilik darjah. Ia mula diaplikasikan dalam kaedah pengajaran bahasa Inggeris untuk menyelesaikan masalah yang timbul akibat daripada amalan kaedah pengajaran yang hanya berpusatkan guru. Masalah tersebut juga berlaku dalam pengajaran BA. Sebagai buktinya, sorotan kajian awal telah mendapati bahawa kebanyakan pelajar dapat menguasai perbendaharaan kata dan tatabahasa BA dengan baik, namun mereka masih kurang mampu dan tidak mahir untuk mengaplikasikannya dalam komunikasi atau pertuturan seharian. Persoalannya, adakah teknik role play ini sesuai diaplikasikan oleh pengajar untuk menyelesaikan masalah tersebut dan seterusnya meningkatkan kemahiran komunikasi BA? Justeru, penyelidik telah melaksanakan kajian tentang aplikasi teknik Role Play sebagai satu kaedah pengajaran berpusatkan pelajar bagi subjek Al-Muhadathah (Bahasa Arab Komunikasi) di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) di UniSZA. Kajian ini bersifat kualitatif dan deskriptif. Kaedah penyelidikan pembangunan (Developmental Reseach Method) telah digunakan untuk merancang, membangun dan melaksanakan modul pengajaran teknik role play. Data telah dikumpul melalui teknik pemerhatian dan temu bual untuk menilai keberkesanan teknik role play dalam kaedah pengajaran komunikasi BA. Hasil kajian mendapati bahawa teknik role play dapat membantu meningkatkan kemahiran komunikasi BA dalam kalangan pelajar di samping membina keyakinan diri dalam menguasai bahasa asing. Kajian ini diharap dapat membantu pensyarah BA untuk mengaplikasikan teknik tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran agar pelajar lebih mahir berkomunikasi dalam BA. Kata Kunci: teknik role play, Bahasa Arab Komunikasi, kaedah pengajaran, kemahiran berkomunikasi, pengajaran berpusatkan pelajar