6-7 September 2015 Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21 st Century e-ISBN: 978-967-13705-0-6 434 STRATEGI PENGUKUHAN DIALOG PERADABAN MENURUT PEMIKIRAN NURSI Mohamad Zaidin Mohamad 1 , Fadzli Adam 2 , Rahimah Embong 2 , Bazli Shafie 1 , Mohd Afandi Salleh 3 & Daud Ismail 1 1 Faculty of Islamic Contemporary Studies 2 Research Institute for Islamic Products and Civilization 3 Faculty of Law, Accountancy & International Relations Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Abstrak Dialog peradaban merupakan satu bentuk interaksi antara peradaban dunia yang mampu membawa kepada kesejahteraan dan keamanan sejagat. Kajian ini cuba mengkaji pemikiran Badiuzzaman Said Nursi, seorang sarjana Muslim Turki yang terkenal dengan idea-idea kemanusiaan sejagat dalam karya agungnya, Risale-i Nur. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis kandungan terhadap sumber-sumber utama (Risale-i Nur) dan sekunder. Dapatan yang diperoleh menunjukkan bahawa sistem pendidikan yang diamalkan, kerjasama antara agama yang pelbagai dan dialog yang beretika sangatlah diperlukan dalam merealisasikan nilai-nilai positif dialog peradaban dan tidak hanya terhenti sekadar perbincangan akademik di pentas-pentas seminar, bengkel dan sebagainya. Kajian ini juga membuktikan bahawa Islam mempunyai gagasan yang jelas dalam isu-isu berkaitan dengan hubungan antara peradaban dunia semenjak 1400 tahun yang lalu. Kata kunci: Nilai kemanusiaan, Dialog peradaban, Pertembungan peradaban, Risale-i Nur, Nursi. 1. PENDAHULUAN Dialog peradaban ialah satu bentuk perbincangan antara dua pihak atau lebih yang mewakili kepercayaan, ideologi atau pandangan berkenaan sesuatu isu dalam suasana yang beretika dan harmoni agar kebaikan dan kemaslahatan bersama boleh dicapai. Islam telah memberikan asas yang kuat bagaimana kepelbagaian boleh dibentuk ke arah mengukuhkan kesatuan manusia. Terdapat tiga asas utama yang perlu ditekankan. Pertama; Islam meletakkan peranan taaruf begitu besar dalam memperteguhkan hubungan kemanusiaan sehingga ia dianggap sebagai asas kepada konsep ‘kemanusiaan sejagat bagi hubungan antarabangsa’. Kedua; susulan dari langkah pertama iaitu taaruf (saling mengenali), hubungan manusia akan mengorak kepada langkah kedua iaitu tafahum (saling memahami). Ketiga; hidup bersama secara aman damai antara individu atau masyarakat merupakan asas kemakmuran (ta ͑ayush), lebih-lebih lagi dalam konteks semasa yang tidak lagi dihalang oleh sempadan budaya sama ada di alam maya maupun alam realiti yang diakibatkan oleh perkembangan teknologi manusia. Melalui pemikiran Nursi, ada tiga strategi yang boleh digunakan bagi memperkukuhkan taaruf, tafahum dan ta ͑ayush (Zaidin 2013). Tiga strategi yang dimaksudkan ialah pemerkasaan nilai persaudaraan melalui pendidikan, pembentukan pakatan Islam dan Kristian sebagai model dan melaksanakan dialog yang beretika.