ICASIC Arabic Studies & Islamic Civilization E-ISSN: 2289-4977 1(2) 2014 1 http://worldconferences.net/ejournals/ KOHESI PENGHUBUNGAN DALAM KARANGAN ARAB PELAJAR: SUATU ANALISIS WACANA Siti Nurhajariah Md Isa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Email: nurhajariah@kuis.edu.my Hairun Najuwah Jamali Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Email: hairunnajuwah@kuis.edu.my 1. PENGENALAN Peringkat tertinggi dalam kemahiran menulis adalah penghasilan wacana, iaitu kemahiran menghasilkan karangan yang mempunyai keselarasan perkataan dan makna yang seterusnya mempunyai maksud sosial. Menurut Idris Aman (2010) wacana adalah satuan bahasa yang lengkap yang benar-benar digunakan untuk komunikasi dan mempunyai maksud. Wacana yang mempunyai perkaitan semantik ini akan mewujudkan komunikasi berkesan antara pewacana dengan pendengar atau pembaca. Justeru, untuk mewujudkan komunikasi berkesan ini, suatu wacana itu perlulah mempunyai kesinambungan bentuk atau kesepaduan struktur. Kesepaduan ini dinamakan sebagai kohesi. Menurut Renkema (1993) sebuah wacana itu haruslah menekankan kohesi sebagai kriteria utama. Ini kerana kohesi akan menjadikan wacana berkesinambungan dan bertekstual. Kohesi merupakan unsur paling penting untuk menghasilkan komunikasi yang berkesan, terutamanya dalam wacana bertulis. Justeru, untuk mendapatkan komunikasi bertulis yang berkesan, idea-idea yang ingin disampaikan haruslah mempunyai kesinambungan. Menurut Byrne (1982): “... We do not just write one sentence or even a number of unrelate sentences. We produce a sequence of sentences arranged in a particular order and linked together in certain ways. The sequence may be short – perhaps only two or three sentences – but, because of the way the sentences have been put in order and linked together, they form a coherant whole. They form what wemay call a text.” Kohesi juga merupakan unsur penting dalam memastikan komunikasi yang berkesan antara penulis dan pembaca. Menurut Byrne (1982): “...It is by the organization of our sentences into a text, into a coherant whole which ia as explicit as possible and complete in itselef, that we are able to communicate successfully with our readers through the medium of writing.” Kegagalan penulis untuk menyampaikan mesej mungkin disebabkan penulisan yang tidak mempunyai kohesi yang baik. Ini kerana, kohesi yang baik dalam sesebuah wacana boleh menjadikan wacana itu berkesinambungan. Oleh itu penggunaan alat kohesi yang betul akan membantu penulisan menjadi berkesinambungan (Richards, 1990). Mohamad Baharuddin dan Mohd. Khairie Ahmad (2003) berpendapat bahawa penggunaan bahasa yang baik akan membawa kepada pencapaian matlamat komunikasi dengan lebih jelas. Menurut Che Mohd Arif (1996) pula kegagalan membentuk ayat-ayat yang mempunyai kohesi dalam penulisan karangan antara kelemahan yang ketara dalam kalangan pelajar. Lantaran itu, kajian ini cuba untuk melihat penggunaan alat kohesi dalam karangan pelajar berfokus kepada penggunaan kohesi penghubungan. Kajian ini secara spesifknya berobjektifkan perkara berikut: (1) untuk meneliti taburan penggunaan jenis kohesi penghubungan dalam karangan Arab pelajar, dan (2) untuk melihat taburan penggunaan kohesi penghubungan berdasarkan gred yang diperolehi.