PERSEDIAAN MAJIKAN DAN PIHAK UNIVERSITI AWAM DALAM MENGHADAPI CABARAN REVOLUSI PERINDUSTRIAN 4.0 Ahmad Zakwan Bin Mohd Affandi Jabatan Ukur Bahan Universiti Teknologi Malaysia, Johor, Malaysia. Email : zakwan912@gmail.com Abstrak : Perubahan cara kerja manusia dalam melaksanakan tugas hakiki sentiasa berlaku sepanjang zaman. Gelombang perubahan secara besar besaran dikenali sebagai Revolusi Perindustrian. Sehingga ke hari ini, dunia telah mengalami 3 fasa Revolusi Perindustrian dan kini dunia sedang melalui fasa Revolusi Perindustrian 4.0. Teras Revolusi Perindustrian 4.0 ialah robot automasi, simulasi, integrasi data, internet of things, cyber security, system cloud, augmented reality dan data besar. Kesemua elemen yang terdapat di dalam teras Revolusi Perindustrian 4.0 diimplementasikan terhadap cara kerja manusia dalam pelbagai bidang secara menyeluruh. Elemen Revolusi Perindustrian 4.0 yang dapat dilihat dalam industri pembinaan ialah penggunaan sistem pre- fabrication and modular construction, advanced building material, 3D printing and additive manufacturing, augmented reality, cloud and real time collaboration dan building information modelling. Pemain industri pembinaan tidak boleh menidakkan perubahan ini dan menongkah arus perubahan teknologi sekiranya mereka tidak mahu terkeluar dari arena yang mempunyai saingan yang sangat kompetitif. Dalam kajian ini, objektif yang ingin dicapai ialah mengenal pasti kriteria pekerja dalam bidang ukur bahan yang diperlukan oleh majikan bagi mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0. Objektif yang kedua ialah mengenal pasti persediaan yang dilakukan oleh pihak universiti awam dalam menghasilkan graduan ijazah sarjana muda ukur bahan yang menepati kehendak piawaian Revolusi Perindustrian 4.0. Kaedah yang digunakan untuk melaksanakan kajian ini ialah menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif iaitu dengan mengedarkan borang soal selidik kepada majikan yang menjalankan perkhidmatan firma konsultansi ukur bahan dan sesi temubual berstruktur terhadap ketua jabatan atau penyelaras universiti awam yang menyediakan jurusan ijazah sarjana muda ukur bahan kepada pelajar.