KEM FALSAFAH PPFPM PERINGKAT NEGERI SEMBILAN UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM) 7 SEPTEMBER 2019 1 Mukadimah kepada Falsafah Islam Hilman Fikri Azman (PPFPM) PADA TAHUN 1719, karya sastera karangan Daniel Defoe berjudul “Robinson Crusoe” telah diterbitkan, mengisahkan mengenai survival sang kelasi yang terdampar di sebuah pantai setelah bahteranya musnah dilanda taufan. Meneruskan hidupnya atas ikhtiar sendiri, Crusoe memanfaatkan pengalaman dan ingatannya untuk bertukang dan memanfaatkan mahsul alam di pulau itu demi melanjutkan hayatnya. Namun bagaimana pula sekiranya dia terdampar di pantai itu tanpa apa-apa pengalaman dan ingatan sebelum itu –seorang anak kecil misalannya – apakah akan jadinya anak itu? Adakah mungkin untuk dia hidup dan memahami mengenai kehidupan ini tanpa adanya masyarakat atau manusia lain yang mengajar? Bagaimana pula caranya untuk dia membesar dan memahami hakikat alam dan dirinya sendiri? Demikian persoalan- persoalan seputar epistemologi yang lebih asasi cuba dilontarkan oleh faylasuf dari Andalusia yang bernama Ibn Tufayl dalam karya sasteranya Hayy bin Yaqzan, 500 tahun sebelum karya Defoe diterbitkan. Epistemologi bermaksud perbahasan yang melibatkan teori pengetahuan dan sumber ilmu manusia. Persoalan utama yang ingin dirungkaikan adalah apakah maksud tahu? Tahu ditakrifkan sebagai suatu keadaan di mana seseorang itu berhasil untuk memperoleh sesuatu yang boleh difahami akalnya, dinamakan perkara itu pengetahuan. “X tahu siapa itu al-Farabi” membawa maksud X memiliki pengetahuan mengenai al-Farabi dan memahaminya. Walaubagaimanapun “tahu” membawa konotasi keberhasilan, sedangkan objek pengetahuan itu tidak semestinya benar. Maka sesuatu pengetahuan itu memerlukan pengesahan untuk diketahui kebenarannya – di sinilah cabarannya kerana hakikatnya tidak ramai yang mengambil pusing untuk mengesahkan pengetahuannya. Jalan pengesahan untuk sampai kepada makna sebenar adalah melalui proses falsafah. Pengetahuan yang telah disahkan sebagai benar akan meningkat martabatnya menjadi ilmu. Dan seseorang yang berilmu adalah seseorang yang telah sampai jiwanya kepada makna hakiki yang berdiam di ‘ālam mithāl, sebagaimana yang diungkapkan dengan penuh Platonik oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas.