BAB 1 ASAL USUL RAJA Pengenalan Kedatangan lima putera Bugis bersaudara, Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeing Chelak dan Daeng Kemaseh, pada 1721 ke Johor-Riau untuk membantu Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah menaiki takhta setelah mengalahkan Raja Kecil dari Siak merupakan permulaan kepada pengaruh Bugis dalam kesultanan di negeri-negeri di Tanah Melayu (Tanah Melayu sebagai sebuah kerajaan yang bersatu belum lagi wujud). Selangor yang pernah berada di bawah pemerintahan Kerajaan Melaka Lama tidak pernah mempunyai kesultanannya sendiri. Di samping itu, Selangor pernah berada di bawah pemerintahan Kerajaan Perak dan Kedah. Selepas itu, Selangor berada pula di bawah pemerintahan Johor Riau. Daeng Merewah dilantik Yam Tuan Muda Johor-Riau I oleh Sultan Johor-Riau. Jawatan itu diambil alih oleh Deang Chelak (Yam Tuan Muda Riau II) apabila baginda (Daeng Merewah) mangkat. Apabila Daeng Chelak mangkat pada 1745, putera bongsunya Raja Lumu mengambil alih jawatannya dan menjadi Yam Tuan Muda Riau III.