KEPELBAGAIAN HASIL LAUT Malaysia cukup terkenal dengan kepelbagaian hasil lautnya. Malaysia bukan sahaja terkenal dengan pantai yang cantik, bersih tetapi juga kaya dengan hasil lautan. Hasil-hasil laut ini bukan sahaja menjadi sumber makanan kepada manusia tetapi juga merupakan sumber rezeki bagi para nelayan di Malaysia. Pelbagai hasil laut yang boleh kita temui di dasar laut Malaysia, antaranya ikan. Pelbagai jenis ikan yang boleh kita ketahui seperti ikan pari, ikan tenggiri, ikan kerapu, ikan kembong, ikan cencaru dan banyak lagi. Selain daripada pelbagai spesies ikan, terdapat juga hidupan laut yang lain termasuklah kerang, udang, sotong, dan banyak lagi. Terdapat juga tumbuhan- tumbuhan laut yang boleh ditemui dalam dasar laut, misalnya rumpai laut. Rumpai laut mempunyai banyak kelebihan. Tumbuhan ini bukan sahaja boleh dijadikan sebagai sumber makanan, tetapi juga untuk tujuan perubatan. Oleh hal yang demikian, hasil-hasil laut ini perlulah dilindungi dan dipelihara daripada sebarang kemusnahan mahupun pencemaran. Hal ini kerana, kekayaan hasil laut banyak memberikan manfaat kepada manusia.