Dakwah Online dan Kajian Awal ke Arah Ensiklopedia Domainnya dalam Bahasa Melayu 1 Oleh : Najahudin Lateh 2 najahudin@salam.uitm.edu.my Abstrak Dakwah online melalui internet merupakan suatu medium baru yang sangat berkesan. Tugasan dakwahnya dijalankan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun. Banyak kelebihan lain yang boleh dimanfaatkan terutamanya untuk menarik perhatian golongan sasar seperti orang muda dan masyarakat dunia. Aplikasi internet seperti laman web, portal, blog, email, SMS internet, borak siber dan sebagainya boleh digunakan untuk berdakwah di samping menangkis anasir buruk yang disasarkan kepada Islam. Kewujudan domain dakwah dalam aplikasi ini oleh para tekno-dai‟e secara langsung dapat menyebarkan Islam seantero dunia. Tulisan ini akan memfokuskan kepada dakwah online dengan melihat kepada bentuk dan aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh pendakwah dan pelayar internet. Di samping itu, tulisan ini juga menyenaraikan seberapa banyak domain dakwah dalam bahasa Melayu yang wujud di alam maya. Adalah diharapkan koleksi yang dipaparkan boleh dijadikan catatan awal ke arah kewujudan ensiklopedia domain dakwah untuk dimanfaatkan oleh semua. Pendahuluan Dakwah adalah usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali, menerima dan menghayati Islam yang dilaksanakan melalui kaedah, teknik dan pendekatan tertentu. Galakan untuk berdakwah terbuka kepada seluruh umat Islam seperti sabda Rasulullah SAW : "Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat dan ceritakanlah riwayat daripada Bani Israel dan sesiapa mendustai aku dengan sengaja, disediakan tempat baginya daripada api neraka." (Hadis riwayat al-Bukhari dan al-Tirmidzi) 1 Kertas ini dibentangkan di Seminar Pemantapan Dakwah Cabaran & Prospek pada 21 hingga 22 Julai 2009 bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Samarahan. 2 Beliau ialah pensyarah Centre for Islamic Thought & Understanding (CITU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.