BULETIN PENYELIDIKAN BIL. 41, 2018, 23-24 (ISSN 2232-1853) Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur. MAKHLUK HALUS DARI PERSPEKTIF SAINS Mohd Jim Hamzah Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas Tafsiran makluk halus seringkali merujuk kepada hantu, jin dan syaitan yang hidup di alam ghaib (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Menurut Haron Din (2011), makhluk halus ialah makhluk-makhluk yang dicipta oleh Allah SWT dengan jisim yang sangat halus yang kebiasaannya tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau dirasa dengan anggota lahir. Penjelasan yang lebih saintifik tentang kewujudan makhluk halus diungkapkan oleh Norhisham Wahab (2013) bahawa hantu dan jin wujud secara tidak nyata kerana tidak terikat kepada jisim, graviti bumi serta bebas daripada ikatan karbon, molekul dan atom. Ini berbeza dengan manusia yang terbentuk daripada partikel atom atau unsur yang menyusun semua benda. Hantu dan jin tidak memiliki unsur jasad yang menyebabkan makhluk ini tidak dapat dilihat tetapi kewujudan makhluk ini dapat dibuktikan dengan ilmu sains fizik kuantum (quantum physics) (Norhisham Wahab, 2013). Menurut Norhisham lagi, hantu dan jin termasuk dalam istilah yang dipanggil ghaib nisbi dan boleh diukur dengan gelombang bunyi dan gema. Makhluk halus terbahagi kepada dua iaitu malaikat dan jin. Malaikat dijadikan daripada cahaya iaitu dari spektrum sebelah kanan yang bercahaya putih manakala jin dijadikan daripada spektrum sebelah kiri yang berwarna hitam dari hujung lidah api (Supyan Hussin, 2016). Jin dijadikan daripada plasma atau haba dari api yang berwarna gelap atau hitam yang terletak pada sebelah kiri spektrum warna dan boleh dilihat melalui warna merah infra (infra-red). Malaikat pula boleh dijadikan daripada cahaya putih yang terletak pada sebelah kanan spektrum warna dan boleh dilihat melalui cahaya ultra ungu (ultra-violet). Jin dijadikan daripada api. Api adalah satu manifestasi haba dan suhu. Api boleh dilihat daripada mata kasar tetapi haba hanya boleh dirasai. Haba dan suhu boleh diukur menggunakan alat ukur dan boleh diterjemahkan dalam bentuk kuantiti. Menurut Supyan Hussin (2013), setiap lapisan api mempunyai bahang dan tenaga. 1